ANTARA aset pertahanan yang sudah rosak ditinggalkan di lapangan terbang di Kabul susulan pengunduran tentera AS dari Afghanistan. -FOTO AFP
ANTARA aset pertahanan yang sudah rosak ditinggalkan di lapangan terbang di Kabul susulan pengunduran tentera AS dari Afghanistan. -FOTO AFP
Agensi

Washington: Tentera Amerika Syarikat (AS) sempat melumpuhkan operasi sejumlah aset pertahanan sebelum meninggalkan Afghanistan Isnin lalu.

Aset berkenaan termasuk pesawat dan kenderaan berperisai serta sistem pertahanan roket berteknologi tinggi.

Ketua Komander Pusat, Jeneral Kenneth McKenzie berkata, sebanyak 73 pesawat diletakkan di zon 'musnah' atau tidak digunakan tentera di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai sebelum pihaknya menyelesaikan misi pemindahan dari negara yang kini dikuasai Taliban itu.

"Pesawat berkenaan tidak akan boleh terbang lagi dan tidak boleh dikendalikan sesiapa pun," katanya dalam portal NDTV.

Katanya, Pentagon yang mempunyai 6,000 kekuatan tentera dalam mengendalikan lapangan terbang itu sejak 14 Ogos lalu melumpuhkan operasi kenderaan berperisai MRAP dan 27 Humvess yang bernilai AS$1juta (RM4.15 juta), setiap satu.

McKenzie berkata, pihaknya turut meninggalkan sistem C-RAM, roket, artileri dan mortar yang digunakan untuk melindungi lapangan terbang daripada serangan roket.

Katanya, sistem itu juga yang membantu menepis serangan roket dari negara Islam, Isnin lalu.

"Kami mengekalkan operasi sistem itu sehingga minit-minit terakhir sebelum pesawat yang terakhir AS meninggalkan Kabul.

"Ia adalah prosedur rumit dan mengambil masa rapi untuk melumpuhkan semua sistem itu.

"Kami musnahkan semua sistem itu supaya mereka tidak boleh gunakannya lagi," katanya.

Tentera AS berundur sepenuhnya dari Afghanistan, sekali gus mengakhiri perang selama 20 tahun di negara itu.

Kumpulan terakhir tentera AS keluar dari negara itu menerusi penerbangan dari lapangan terbang di sini, sebelum tengah malam Selasa (kelmarin).

Pengunduran tentera AS itu dibuat ketika hampir tarikh akhir pada 31 Ogos lalu untuk tujuan berkenaan yang sebelum ini ditetapkan Presiden AS, Joe Biden.

Pejuang Taliban kemudian segera memenuhi lapangan terbang dan melepaskan tembakan ke udara bagi meraikan pengunduran itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 September 2021 @ 6:30 AM