PEJUANG Taliban berjalan berhampiran pintu masuk di lapangan terbang di Kabul. FOTO AFP
PEJUANG Taliban berjalan berhampiran pintu masuk di lapangan terbang di Kabul. FOTO AFP
AFP

Kabul: Serangan udara Amerika Syarikat (AS) di Afghanistan membunuh dua militan Daish berprofil tinggi dan menyebabkan seorang lagi cedera, kata Pentagon pada Sabtu.

Menurut Mejar Jeneral Hank Taylor dalam satu sidang akhbar, tiada orang awam tercedera dalam serangan dron pada pagi Sabtu.

Langkah itu susulan serangan pengebom berani mati di lapangan terbang di Kabul, Khamis lalu yang mengorbankan sejumlah orang termasuk 13 tentera AS.

Pentagon menafikan mereka yang menjadi sasaran dalam serangan AS terbabit secara langsung dalam insiden pengeboman bunuh diri itu.

"Mereka adalah perancang dan fasilitator Daish. Itu alasan yang mencukupi," kata jurucakap Pentagon, John Kirby.

Pengeboman bunuh diri di lapangan terbang Kabul itu menyasarkan sekumpulan rakyat Afghanistan yang mahu melarikan diri dari Afghanistan yang kini dikuasai Taliban.

Kejadian itu berlaku ketika misi membawa pulang warga AS, Jumaat lalu.

Pegawai AS mendakwa, lebih banyak serangan kemungkinan besar akan dilakukan.

Sejak 14 Ogos lalu sehari sebelum Taliban menguasai negara itu, kira-kira 117,000 orang berjaya di bawa pulang dari Afghanistan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Ogos 2021 @ 10:38 AM