Pakar bedah sedang melakukan pembedahan memisahkan kembar Siam pramatang di HTA semalam. Foto Ihsan KKM
Pakar bedah sedang melakukan pembedahan memisahkan kembar Siam pramatang di HTA semalam. Foto Ihsan KKM
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Hospital Tunku Azizah (HTA) di sini, melakar sejarah apabila berjaya memisahkan kembar Siam pramatang seberat 2.7 kilogram pada semalam.

Pakar Perunding Pembedahan Kanak-Kanak HTA Datuk Dr Zakaria Zahari berkata, pembedahan seumpama itu biasanya dilakukan pada usia tiga hingga enam bulan.

Menurutnya, disebabkan komplikasi 'extrauterine twin-to-twin transfusion syndrome', pasangan kembar itu terpaksa menjalani pembedahan segera pada usia 17 hari.

"Bayi kembar lelaki ini dilahirkan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh pada usia 33 minggu kandungan dan dirujuk oleh Pakar Neonatologi HRPB Dr Maneet Kaur Ranjuth Singh untuk rawatan lanjut di HTA.

"Selepas perbincangan antara doktor-doktor pakar HRPB dan HTA secara atas talian pada 2 petang, 15 Mac lalu. Keputusan untuk melakukan pembedahan berisiko tinggi itu disepakati," katanya.

Menurutnya, kembar Siam jenis 'omphalophagus' itu didapati berkongsi bahagian hati dan organ lain didapati normal.

Katanya, pasukan beliau yang disertai oleh enam lagi pakar bedah kanak-kanak dari seluruh Malaysia dan pasukan bius kanak-kanak yang diketuai oleh Dr Intan Zarina Fakir Mohamed dan Dr Ruwaida Isa serta hampir 20 jururawat dan staf dewan bedah kanak-kanak berjaya memisahkan pasangan berkenaan dalam masa 66 minit tanpa komplikasi major," katanya.

"Proses persediaan untuk pembedahan dimulakan seawal 7.30 pagi dan kedua-dua bayi kemudiannya dihantar balik ke unit rawatan rapi neonatal (NICU) pada 2 petang.

"Dengan sokongan pasukan Neonatologi yang diketuai oleh Dr Neoh Siew Hong dan jururawat NICU HTA, diharapkan kedua-dua bayi ini dapat sembuh dengan sebaik-baiknya," katanya.

Semenjak pembukaan HTA, ia adalah pembedahan ketiga untuk pasangan bayi kembar Siam.

Doktor pakar lain yang terbabit secara langsung dalam pembedahan itu adalah Dr Mughni Bahari, Dr Mohd Tarmizi Md Nor, Dr Nurdaliza Mohd Badarudin, Dr Hafatin Fairos Tamadun, Dr Mohd Yusran Othman, Dr Cheng Joo Qing, Dr Rohanizah Alias, Dr Zubaidah Zulkipeli dan Dr Elaine Wong Ee Lane.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mac 2022 @ 9:32 AM