Kubur terhakis hingga menampakkan mayat di Sungai Ganges.
Kubur terhakis hingga menampakkan mayat di Sungai Ganges.
AFP

Allahabad, India: Banjir yang berlaku di sekitar Sungai Ganges menyebabkan ratusan mayat yang ditanam berhampiran sungai berkenaan mula terdedah di permukaan.

Neeraj Kumar Singh, seorang pegawai di kota Allahabad berkata, hampir 150 mayat telah dikremasi dalam tempoh tiga minggu.

"Kami tidak menggali semula kubur tetapi hanya mengkremasi mayat yang dapat dilihat akibat kenaikan paras air.

"Kawasan ini sejauh satu kilometer dan kami jangka terdapat 500 hingga 600 mayat sudah dikremasi," katanya.

Sebahagian besar mayat berkenaan adalah mangsa Covid-19 sekitar April dan Mei ketika India dilanda lonjakan jangkitan yang menyebabkan kemasukan ke hospital meningkat mendadak.

Terdapat keluarga yang tidak dapat membeli kayu untuk proses kremasi sehingga menyebabkan mereka mengambil keputusan untuk mengebumikan mayat di tebing pasir berhampiran sungai.

Kawasan berkenaan kini dilanda banjir menyebabkan perubahan paras pasir.

Jumlah kubur yang dapat dilihat itu menimbulkan curiga berkaitan angka sebenar mangsa yang maut akibat Covid-19 di India sehingga ada pakar mengatakan ia mungkin melebihi sejuta, berbanding angka rasmi yang diumumkan sekitar 400,000.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Jun 2021 @ 10:14 PM