INDIA kini berdepan saat memilukan selepas kes jangkitan Covid-19 terus memuncak.
INDIA kini berdepan saat memilukan selepas kes jangkitan Covid-19 terus memuncak.
Agensi

New Delhi: Ibu negara India kini berdepan saat memilukan selepas kes jangkitan Covid-19 terus memuncak dengan rekod tertinggi setakat ini dicatatkan pada Khamis lalu.

Akibatnya, proses pembakaran jasad terpaksa dilakukan di tempat letak kenderaan selepas 306 maut dalam tempoh 24 jam.

Nitish Kumar terpaksa menyimpan jasad ibunya di rumah selama dua hari selepas sukar mencari krematorium yang boleh menguruskan jasad ibunya di ibu kota berkenaan.

Namun, Khamis lalu dia dapat menggunakan kemudahan sementara yang dibina berhampiran lokasi krematorium rasmi di Seemapuri.

"Saya sudah mencari di merata tempat, tapi semua krematorium penuh. Salah satu di antaranya mengatakan mereka tidak memiliki kayu untuk membakar jasad," katanya.

India mencatatkan rekod kes harian tertinggi di dunia dengan jumlah 314,835 jangkitan baharu pada Khamis lalu.

Di Delhi saja, di mana hospital sudah tidak mempunyai tabung oskigen simpanan, merekodkan jumlah kes harian sehingga 26,000.

Dalam 24 jam terakhir, di Delhi saja, 306 orang meninggal dunia dan menjadikan beberapa tempat terbuka sebagai tempat kremasi, tradisi yang banyak dilakukan oleh warga Hindu di India.

Sukarelawan masyarakat, Jitender Singh Shunty berkata, sehingga petang Khamis, sebanyak 60 jasad sudah dibakar di kemudahan sementara berkenaan manakala 15 jasad lagi menunggu untuk dikremasi.

"Tidak seorang pun di Delhi yang akan melihat hal seperti ini lagi.

"Ada anak-anak berusia lima tahun, 15 tahun, 25 tahun yang dikremasi. Ada pasangan pengantin baru yang juga dikremasi. Sedih sekali melihat semua ini," katanya.

Katanya, tahun lalu ketika gelombang pertama Covid-19 melanda India, dia pernah mengkremasi 18 jenazah sehari dengan purata lapan hingga sampai 10 jasad sehari.

Tapi, pada Selasa lalu, dia mengkremasi 78 jenazah hanya di satu lokasi.

"Tidak banyak yang boleh dilakukan. Hanya kita boleh menjaga diri sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 April 2021 @ 6:00 AM