FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Agensi

New Delhi: Seorang lelaki di Uttar Pradesh, India dilaporkan bekerja sebagai konstabel polis dan guru, sejak lima tahun lalu.

Ia selepas lelaki itu meminta adik iparnya menggantikannya untuk bertugas sebagai anggota polis, sementara dia bekerja sebagai guru.

TimesNowNews.com melaporkan, penipuan lelaki bernama Anil Kumar itu bagaimana terbongkar selepas Balai Polis Thakurdwara di Moradobad menerima aduan daripada seorang individu.

Pemanggil itu mendakwa identiti individu bernama Anil digunakan oleh seorang lelaki lain.

Susulan aduan itu, Anil dipanggil untuk hadir ke balai polis bagi memberi keterangan.

Seorang lelaki hadir ke balai dengan memakai pakaian seragam bersama pemandu kenderaan respons awam (PRV).

Pegawai polis bertugas bertanya kepada lelaki yang mengaku sebagai 'Anil' itu mengenai maklumat peribadinya dan dia memberitahu berasal dari Muzaffarnagar.

Lelaki itu mendakwa menjadi konstabel polis pada 2011 selepas menjalani latihan di Pusat Polis Bareilly di samping memaklumkan bapanya adalah Sukhpal Singh.

Bagaimanapun, 'Anil' tidak dapat menjawab ketika ditanya nama superintendan polis ketika dia menjalani latihan di Bareilly.

The Times of India melaporkan, disebabkan tidak dapat menjawab soalan itu, 'Anil' meminta diri ke tandas sebelum melarikan diri.

Sementara itu, polis bertugas memeriksa rekod dan terkejut apabila mendapati gambar dalam dokumen tidak sepadan dengan lelaki itu.

Siasatan lanjut mendapati lelaki itu sebenarnya adalah Sunil Kumar iaitu adik ipar kepada Anil.

Anil dan Sunil sudah lama mengenali satu sama lain.

Pada 2016, Anil lulus ujian perguruan dan meminta Sunil menggantikannya sebagai anggota polis kerana dia mahu menghabiskan pengajian peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang pendidikan.

Bagi mengelak dirinya dicekup, Anil bertukar tempat kerja ke Moradabad.

Disebabkan tempat baharu, tiada yang mengetahui perbezaan antara Anil dan Sunil.

Anil kemudian terus bekerja sebagai guru sekolah rendah di Muzaffarnagar dan berkahwin dengan kakak Sunil pada 2017.

Anil dan Sunil terus bersubahat melakukan penyamaran itu sehingga penipuan mereka terbongkar pada Khamis lalu.

Kedua-dua lelaki itu kini ditahan bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 10:00 PM