PEKERJA lapangan terbang di Bangkok ketika program pemvaksinan Covid-19. FOTO AFP
PEKERJA lapangan terbang di Bangkok ketika program pemvaksinan Covid-19. FOTO AFP
BERNAMA

Bangkok: Mulai semalam, Thailand mengenakan sekatan dan langkah-langkah baharu termasuk mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam di ibu negaranya dalam usaha menghentikan penularan pantas virus Covid-19 di negara itu.

Bangkok, pusat terbaharu penularan pandemik itu yang mencatatkan 9,076 kes Covid-19 dalam masa kurang dari sebulan menyertai sekurang-kurangnya 45 wilayah di negara itu yang mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam atau berdepan hukuman denda yang tinggi sebanyak 20,000 baht (RM2,600).

Media tempatan melaporkan Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) mengumumkan bahawa semua kenderaan yang membawa lebih dari seorang penumpang, walaupun ahli keluarga, wajib memakai pelitup muka.

Dalam tempoh 24 jam sebelumnya, Thailand mencatatkan 2,048 kes baharu Covid-19 dan lapan kematian, menjadikan jumlah jangkitan di negara itu kini 57,508 kes dan 148 kematian.

Semalam menjadi hari keempat berturut-turut Thailand mencatatkan lebih daripada 2,000 kes Covid-19 dalam sehari.

Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Bagi Situasi Covid-19 (CCSA) Dr Apisamai Srirangsan berkata setakat ini, sejumlah 25,767 orang masih dirawat di hospital dengan 563 orang dalam keadaan serius dan 150 orang memerlukan bantuan alat pernafasan.

"Bangkok akan terus mencatat lebih 500 kes baru setiap hari, hasil ujian massa aktif yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa kesihatan," katanya pada taklimat harian Covid-19 di sini, hari ini.

Beliau berkata kematian baru membabitkan pesakit berusia antara 24 dan 92 tahun dengan empat di Bangkok, masing-masing satu di Pathum Thani, Udon Thani, Chaiyaphum dan Yala.

Sementara itu, statistik CCSA menunjukkan semasa gelombang pertama wabak, sebelum pertengahan Disember tahun lalu, Thailand berjaya mengawal Covid-19 dengan 4,237 kes, sementara gelombang kedua (dari 15 Disember hingga 31 Mac), sebanyak 24,626 kes dicatatkan.

Namun, serangan virus terbaru yang bermula di Bangkok, sejumlah 28,645 kes Covid-19 dan 54 kematian dilaporkan hanya dalam 26 hari.

Bagi mengekang wabak itu, BMA juga menutup 31 tempat dan premis termasuk panggung wayang, taman, gimnasium, spa, taska, pusat jagaan kanak-kanak sekurang-kurangnya dua minggu, mulai hari ini hingga 9 Mei.

Kerajaan juga memerintahkan institusi pendidikan dan kelab malam ditutup hingga bulan depan dan penjualan alkohol di restoran juga dilarang.

Sementara itu, Kementerian Luar Thailand menafikan laporan bahawa warga India yang kaya datang ke Thailand melalui penerbangan carter berikutan keadaan Covid-19 yang semakin teruk di negara mereka.

Jurucakap Kementerian Luar Thailand Tanee Sangrat berkata laporan itu berikutan salah faham yang berpunca dari salah penterjemahan oleh sebuah agensi berita asing.

"Kumpulan warga India itu merancang untuk ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu, sementara ada yang bertanya tentang peraturan masuk Thailand, yang mungkin menyebabkan salah faham.

"Kementerian sudah menghubungi Kedutaan Besar Thailand di New Delhi, yang mengesahkan bahawa pihaknya tidak mengeluarkan COE (Sijil Kemasukan) kepada bukan warganegara Thailand di India untuk memasuki Thailand melalui penerbangan carter," katanya, dipetik oleh The Nation.

Beliau berkata Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Thailand juga mengesahkan bahawa mereka tidak membenarkan penerbangan carter dari India ke Thailand.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 April 2021 @ 9:31 AM