SUASANA dalam pengangkutan awam yang lengang di Bangkok susulan orang ramai pulang ke kampung untuk menyambut Songkran. FOTO AFP
SUASANA dalam pengangkutan awam yang lengang di Bangkok susulan orang ramai pulang ke kampung untuk menyambut Songkran. FOTO AFP
BERNAMA

Bangkok: Thailand melaporkan 985 kes baharu Covid-19 tanpa kematian dalam tempoh 24 jam lalu, semalam menjadikan jumlah jangkitan keseluruhan 33,610 kes dan angka korban kekal 97 orang sejak pandemik menular pada Januari tahun lalu.

Menurut Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) untuk kes baharu 980 membabitkan penularan tempatan, 634 adalah mereka yang mendapatkan rawatan di hospital dan 346 melalui pengesanan kes aktif, dan lima kes import.

Sepanjang tempoh yang sama, Chiang Mai mencatat 246 kes baharu, diikuti Bangkok (137), Chonburi (92), dan Samut Prakan (83).

"Terkini, sejumlah 5,265 pesakit masih dirawat di hospital," katanya.

Pakar kesihatan menyatakan kebimbangan serius mengenai kemungkinan berlakunya peningkatan jangkitan berikutan percutian Songkran yang bermula hari ini.

Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Dr Opas Karnkawinpong berkata, jumlah kes baharu Covid-19 mungkin meningkat selepas percutian Songkran.

"Angka setelah percutian Songkran akan menentukan arah gelombang ketiga Covid-19 Thailand," katanya seperti dipetik Bangkok Post.

Justeru, sekurang-kurangnya 37 wilayah sudah mengenakan syarat kemasukan termasuk kuarantin 14 hari untuk pengunjung dari zon merah termasuk Bangkok, Pathum Thani dan Nonthaburi.

Ketika ini, gelombang baharu jangkitan Covid-19 dalam negara berkait dengan pusat hiburan di Bangkok yang sudah merebak ke 72 wilayah.

CCSA mengarahkan pusat hiburan di Bangkok dan 40 wilayah ditutup sekurang-kurangnya dua minggu sehingga 23 April.

Menurut kajian Jabatan Kawalan Penyakit (DCD), penutupan pusat hiburan dapat mengurangkan jangkitan sebanyak 25 peratus, memakai pelitup muka dan menjaga jarak fizikal (30 peratus), bekerja dari rumah (15 peratus) dan larangan berhimpun (15 peratus).

Sementara itu, media tempatan melaporkan pengurus dua pusat hiburan di Bangkok yang banyak mencatatkan kes Covid-19 dilaporkan dijatuhi hukuman penjara dua bulan kerana melanggar Akta Pusat Hiburan dan Perintah Darurat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 April 2021 @ 8:38 AM