Petugas hospital menyusun keranda di Hospital Thammasat di Pathum Thani bagi pengurusan mayat pesakit Covid-19. FOTO AFP
Petugas hospital menyusun keranda di Hospital Thammasat di Pathum Thani bagi pengurusan mayat pesakit Covid-19. FOTO AFP
BERNAMA

Bangkok: Thailand sekali lagi menyaksikan rekod baharu jangkitan dan kematian akibat Covid-19 dalam tempoh 24 jam dengan jumlah kes baharu melepasi angka 10,000 dan 141 orang dilaporkan meninggal dunia.

Sebanyak 10,082 kes baharu dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini sebanyak 391,989 dan 3,240 kematian.

Sehubungan itu, kerajaan menguatkuasakan larangan berhimpun di seluruh negara, sehari sebelum penunjuk perasaan antikerajaan berkumpul di ibu negara untuk mengulangi tuntutan mereka agar pembaharuan kepemimpinan dilakukan dan pengurusan krisis Covid-19 yang lebih baik.

Berkuat kuasa hari ini, mereka yang melanggar larangan itu akan dikenakan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda sehingga 40,000 baht (RM5,132.28) atau kedua-duanya sekali. Arahan ini turut diterbitkan dalam Warta Diraja.

Bagaimanapun, perhimpunan tidak melebihi lima orang masih dibenarkan di Bangkok dan lima wilayah sekitarnya - Nakhon Pathom, Nonthaburi, Pathum Thani, Samut Prakan dan Samut Sakhon.

Thailand kini bergelut melawan penularan Covid-19 yang disifatkan terburuk apatah lagi dengan kemunculan varian Alpha dan Delta sejak awal April.

Meskipun Thailand mengenakan langkah pengurusan keselamatan lebih ketat di Bangkok dan sembilan wilayah termasuk perintah berkurung dari 9 malam hingga 4 pagi, penutupan pusat beli-belah dan beberapa perniagaan, namun negara ini terus mencatatkan jumlah kes dan kematian Covid-19 yang tinggi.

Justeru, polis dan tentera bekerjasama dengan Pentadbiran Metropolitan Bangkok untuk meningkatkan pengesanan kes aktif di bandar raya itu.

Sebanyak 200 pasukan akan menjalankan ujian saringan Covid-19 dari rumah ke rumah di kawasan paling teruk terjejas.

Berikutan peningkatan mendadak kes Covid-19, orang ramai berpusu-pusu ke pusat saringan Covid-19 di Bangkok dan wilayah berdekatan sehingga mencetuskan kebimbangan kemunculan kluster baharu.

Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) menyatakan dari 10,082 kes baharu, sebanyak 10,040 membabitkan jangkitan tempatan manakala 42 lagi kes import.

Kes kematian pula membabitkan 73 lelaki, 68 wanita berusia antara 24 hingga 96 tahun.

Bangkok yang kini menjadi pusat penularan wabak, di kedudukan teratas dalam jumlah kes tertinggi dengan melaporkan 2,302 kes dan 71 kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Julai 2021 @ 11:13 PM