FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Agensi

Yangon: Junta tentera Myanmar dilaporkan mengenakan bayaran 120,000 kyat Myanmar (RM352) kepada waris yang mahu menuntut mayat ahli keluarga mereka yang terbunuh pada satu demonstrasi membantah rampasan kuasa, Jumaat lalu.

Kumpulan advokasi, Persatuan Bantuan untuk Tahanan Politik (AAPP) mendedahkan, sekurang-kurangnya 82 orang awam terbunuh dalam insiden berdarah di Bago, 90 kilometer dari utara Yangon, Jumaat lalu.

Menurut kumpulan itu, tentera Myanmar melepaskan tembakan menggunakan senapang, roket pelancar grenad (RPG) dan bom tangan kepada penunjuk perasaan di Bago, Jumaat lalu.

Sementara itu, laporan Global New Light of Myanmar pula menyiarkan, tentera Myanmar mendakwa pasukannya diserang penunjuk perasaan menggunakan senjata buatan tangan, botol api, anak panah, perisai buatan tangan dan bom tangan.

Berdasarkan hantaran di akauan Facebook Bago University Students' Union, junta tentera akan mengenakan caj RM352 kepada waris yang ingin menuntut mayat keluarga mereka yang maut dalam insiden itu.

Maklumat itu selari dengan laporan Radio Free Asia's Burmese, namun CNN belum mendapatkan pengesahan rasmi daripada tentera.

Sementara itu, saksi yang menetap di bandar itu memberitahu CNN, ramai penduduk melarikan diri ke kampung berhampiran sejak serangan Jumaat lalu.

Katanya, tiada akses internet sejak Jumaat lalu dengan pasukan keselamatan aktif melakukan gerakan mencari penunjuk perasaan di kawasan kejiranan.

Pada 1 Februari lalu, tentera merampas kuasa selepas menahan Aung San Suu Kyi yang juga Kaunselor Negara dan Presiden Myanmar Win Myint.

Ia selepas tentera Myanmar menuduh berlaku penipuan dalam pilihan raya umum November lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 April 2021 @ 7:20 AM