MASJIDIL Haram, Makkah. FOTO fail AFP
MASJIDIL Haram, Makkah. FOTO fail AFP
Agensi

Riyadh: Arab Saudi mengumumkan hukuman denda yang tinggi terhadap terhadap individu yang memasuki Makkah untuk menunaikan umrah atau solat di Masjidil Haram tanpa permit sah pada Ramadan ini.

Saudi Press Agency yang memetik sumber rasmi di Kementerian Dalam Negeri negara itu berkata, hukuman itu bagi mencegah penularan Covid-19.

Menurut sumber itu, individu ditahan ketika memasuki Makkah untuk menunaikan umrah tanpa permit akan dikenakan denda 10,000 Riyal (kira-kira RM11,000).

Sementara itu, individu yang memasuki Makkah untuk menunaikan solat di Masjidil Haram tanpa permit perlu membayar denda 1,000 Riyal (kira-kira RM1,100)

Sebelum ini, BERNAMA melaporkan permit menunaikan umrah akan diberikan kepada mereka yang sudah menerima dua dos vaksin Covid-19, mereka yang imun selepas 14 hari menerima dos pertama, dan mereka yang imun serta sudah pulih daripada jangkitan.

Permohonan permit untuk menunaikan umrah, solat dan lawatan, slot waktu yang ada dan pengesahan akan dibuat melalui aplikasi (Eatmarna) dan (Tawakkalna).

Pengurusan Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi turut mengemukakan pelan operasi mereka sepanjang Ramadan yang akan dilaksana oleh 4,422 petugas.

Di bawah pelan operasi itu, 14 laluan disediakan untuk Tawaf dan tiga laluan paling hampir dengan Ka'bah dikhaskan kepada warga emas serta orang kurang upaya.

Hampir 5,000 pekerja lelaki dan wanita akan melakukan operasi pensterilan dan pembasmian kuman secara kerap, poster panduan turut akan diletakkan di semua ruang solat untuk meningkatkan kepatuhan kepada penjarakan fizikal.

Di samping itu, Lapangan Terbang Raja Abdulaziz, turut menempatkan pasukan khas untuk menyambut ketibaan jemaah dan akan bekerjasama dengan agensi kerajaan serta penyedia perkhidmatan.

Pasukan itu akan mengendalikan jemaah semasa di lapangan terbang termasuk di terminal ketibaan dan pelepasan untuk memastikan jemaah mematuhi garis panduan ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Semua kemudahan pengangkutan turut disediakan termasuk perkhidmatan Kereta Api Berkelajuan Tinggi Haramain serta menetapkan laluan ekspres untuk jemaah umrah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 April 2021 @ 12:32 PM