Arab Saudi membenarkan remaja 12 hingga 18 tahun yang sudah menerima dos lengkap vaksin Covid-19 menunaikan umrah tahun ini. - FOTO AFP
Arab Saudi membenarkan remaja 12 hingga 18 tahun yang sudah menerima dos lengkap vaksin Covid-19 menunaikan umrah tahun ini. - FOTO AFP
Agensi

Jeddah: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi kini membenarkan remaja berusia 12 hingga 18 tahun, yang sudah divaksinasi untuk memohon permit umrah.

Arab News melaporkan, pada hari pertama musim baru umrah yang bermula hari ini, lebih 13,000 permit akan dikeluarkan untuk golongan terbabit, bagi ibadah umrah di Masjidil Haram di Makkah dan lawatan ke Masjid Nabawi di Madinah.

Timbalan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Abdul Fattah Bin Suleiman Mashat berkata, permit itu akan dikeluarkan menerusi dua aplikasi pintar, Eatmarna dan Tawakkalna.

Abdul Fattah berkata, kementeriannya sedang bekerjasama dengan semua pihak di Arab Saudi untuk memastikan persekitaran yang sihat dan selamat untuk semua yang melakukan umrah.

Ahad lalu, pihak berkuasa Arab Saudi mengumumkan pembukaan permohonan visa umrah untuk warga negara asing buat julung-julung kalinya sejak 18 bulan lalu.

Jumlah jemaah yang dibenarkan menunaikan umrah setiap hari akan ditambah kepada 60,000 orang atau sehingga dua juta orang sehari.

Namun, setiap orang hanya dibenarkan menunaikan umrah sekali dalam tempoh 15 hari.

Hanya mereka yang telah menerima kedua-dua dos vaksin Covid-19, dibenarkan memasuki Masjidil Haram atau Masjid Nabawi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Ogos 2021 @ 6:59 PM