KAKITANGAN syarikat pemungut hutang berpakaian seperti Dewa Kekayaan dan menghadiahkan beg tuah kepada peminjam. FOTO AGENSI
KAKITANGAN syarikat pemungut hutang berpakaian seperti Dewa Kekayaan dan menghadiahkan beg tuah kepada peminjam. FOTO AGENSI
Agensi

Singapura: Pemungut hutang sering dikaitkan dengan persepsi negatif dan menimbulkan ketakutan kepada pihak lain terutama peminjam.

Namun, sebuah syarikat pemungut hutang di sini, mengambil pendekatan lebih kreatif untuk mendekati peminjam dengan wakil syarikat berpakaian seperti Dewa Kekayaan dan hadir membawa 'beg tuah'.

Dewa Kekayaan itu mengunjungi rumah peminjam sempena Tahun Baharu Cina untuk memberi 'tuah', bukannya memungut hutang, kata wakil syarikat itu dikenali Fast Debt Recovery Specialist Pte Ltd yang dilapor AsiaOne.

Dalam beg berkenaan yang ada antaranya digantung pada pagar rumah, berisi sesuatu yang boleh mengubah nasib peminjam iaitu tiket loteri dan nombor ramalan ditulis atas notis tuntutan hutang, kemudian dimasukkan dalam sampul merah.

World of Buzz melaporkan, pendekatan itu adalah amalan biasa syarikat pada setiap kali Tahun Baru Cina, yang mana mereka selalunya menghantar jeruk.

Kelainan dibuat tahun ini apabila mereka membawa Dewa Kekayaan terutama dalam tempoh pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Februari 2021 @ 6:10 AM