Masjidilharam. FOTO AFP
Masjidilharam. FOTO AFP
Agensi

Makkah: Arab Saudi mengesahkan tiada kes positif Covid-19 dikesan dalam kalangan jemaah umrah, setakat ini.

Portal Saudi Press Agency yang memetik kenyataan Menteri Haji dan Umrah, Dr Mohammed Saleh Benten.

Arab Saudi, setakat ini, menerima lima juta jemaah di Masjidilharam sejak ibadat umrah kembali dibenarkan pada Oktober lalu.

Kerajaan pada awalnya menangguhkan umrah pada Mac lalu untuk mencegah penyebaran Covid-19.

Namun, pihak berkuasa mengumumkan pada September, mereka akan membenarkan ibadat itu dari Oktober dengan hanya jemaah haji Arab Saudi membabitkan 30 peratus atau 6,000 jemaah umrah setiap hari.

Fasa kedua bermula pada 18 Oktober di mana jumlah jemaah umrah meningkat kepada 15,000 setiap hari.

Fasa ketiga bermula 1 November membolehkan jemaah haji dari luar Arab Saudi mengerjakan umrah dan mengunjungi Masjidilharam membabitkan 100 peratus iaitu antara 20,000 hingga 60,000 jemaah setiap hari.

Arab Saudi sebelum ini menghentikan semua penerbangan antarabangsa dan menutup sempadannya selama seminggu mulai 21 Disember lalu selepas strain baharu Covid-19 dilaporkan.

Bagaimanapun, pihak berkuasa sudah memberi kelonggaran kepada pesawat untuk berlepas dari Arab Saudi yang membawa individu bukan warganegara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Disember 2020 @ 10:57 AM