PEJABAT TikTok di Culver City, California. FOTO Reuters
PEJABAT TikTok di Culver City, California. FOTO Reuters
AFP

Ottawa: Kanada menjalankan semakan keselamatan negara terhadap cadangan pengembangan aplikasi video popular TikTok milik China di negaranya, kata Menteri Industri, Francois-Philippe Champagne pada Jumaat.

Dalam telesidang dari Itali selepas bertemu dengan rakan sejawatannya dalam G7, Champagne berkata, kajian semula di bawah Akta Pelaburan Kanada dimulakan secara senyap pada September 2023.

"Kami sudah melancarkan semakan keselamatan negara (TikTok)," katanya kepada pemberita.

"Kami menyelesaikannya. Kami akan memaklumkan kepada orang Kanada berhubung sebarang tindakan akan diambil berkaitan dengan topik tertentu itu.

"Saya akan ada lebih banyak perkara untuk diperkatakan apabila semakan kami selesai," tambah menteri itu tanpa menyatakan bila ia akan berlaku.

Champagne menyatakan pengumuman pada Mac tahun lalu bahawa pelaburan asing dalam sektor media digital interaktif Kanada akan menghadapi penelitian yang ketat.

Menurut kenyataan dasar, pihak yang didapati menyebarkan maklumat salah atau memanipulasinya dengan cara yang memudaratkan keselamatan negara Kanada boleh menghadapi langkah mitigasi atau larangan.

Kajian semula Kanada tiada kaitan dengan cadangan rang undang-undang Amerika Syarikat (AS) yang akan memaksa pemilik China untuk menjual TikTok atau berdepan pengharaman di negara berkenaan.

Rang undang-undang itu sebahagiannya didorong oleh kebimbangan terhadap undang-undang keselamatan China yang memaksa organisasi membantu dengan pengumpulan risikan.

"Kami sedang memerhati, sudah tentu, perbahasan yang berlaku di AS," kata Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau pada Khamis selepas Dewan Perwakilan AS meluluskan rang undang-undang itu, yang masih memerlukan kelulusan daripada Senat.

TikTok adalah anak syarikat milik firma teknologi China, ByteDance Ltd dan Kanada mengharamkan platform itu daripada peranti mudah alih kerajaan persekutuan pada Februari tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2024 @ 10:29 AM