ANGGOTA Parlimen dari parti pemerintah menepuk tangan selepas rang undang-undang  diluluskan.
ANGGOTA Parlimen dari parti pemerintah menepuk tangan selepas rang undang-undang diluluskan.
Reuters

Tokyo: Parlimen Jepun semalam meluluskan satu rang undang-undang yang mengubah dasar dan membenarkan tentera negara itu bertempur di luar negara buat pertama kali sejak tamatnya Perang Dunia Kedua.

Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe menganggap rang undang-undang itu satu kejayaan besar dan usaha beliau melonggarkan sekatan perlembagaan terhadap ketenteraan.

Antara perkara utama rang undang-undang itu adalah membatalkan larangan terhadap hak pertahanan bersama atau mempertahankan Amerika Syarikat (AS) atau negara sekutu lain yang diserang atau Jepun sendiri berdepan dengan ancaman.

Abe berkata, perubahan dasar itu adalah perubahan besar dalam pertahanan Jepun sejak penubuhan tentera pasca perang pada 1945.

Tegasnya, perubahan itu penting bagi berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk dari China.

Bagaimanapun, ia dibantah pembangkang dan juga rakyat biasa yang mendakwa perubahan itu melanggar perlembagaan serta boleh menjerumus negara itu dalam konflik.

“Rang undang-undang ini perlu untuk melindungi nyawa dan keamanan rakyat dan ia bertujuan mengelakkan perang,” kata Abe kepada wartawan.

“Saya akan terus menerangkan rang undang-undang ini dengan tegas dan dengan baik,” katanya.

Sekutu rapat Jepun, AS menyambut baik perubahan itu, tetapi China pula melahirkan kebimbangannya.

Kementerian Luar China dalam satu kenyataan menegaskan bahawa langkah itu sangat tidak dijangka.

“Kami mendesak Jepun supaya belajar dari sejarah dan terus mendokong langkah menuju pembangunan keamanan,” kata kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2015 @ 5:06 AM