BOMBA membantu mengeluarkan wanita yang dilanggar kereta pandu sendiri di San Francisco. baru-baru ini. FOTO Reuters
BOMBA membantu mengeluarkan wanita yang dilanggar kereta pandu sendiri di San Francisco. baru-baru ini. FOTO Reuters
AFP

San Francisco: Sebuah kereta pandu sendiri yang dikendalikan syarikat Cruise, merempuh seorang wanita, selepas mangsa sebelum itu dilanggar oleh kenderaan lain di sini, baru-baru ini.

Wanita itu dibawa ke hospital dan polis sedang menyiasat kemalangan itu.

"Kami percaya bahawa kenderaan lain yang bukan kenderaan berautonomi (AV) mungkin pada mulanya terbabit dalam perlanggaran, tetapi pemandu memandu kenderaan itu untuk melarikan diri dari tempat kejadian," kata pegawai San Francisco kepada AFP.

Video yang ditunjukkan oleh Cruise kepada AFP, menunjukkan insiden berkenaan.

"Kesan rempuhan awal adalah teruk dan ia menyebabkan pejalan kaki terdorong di depan AV.

"AV kemudian membrek secara agresif untuk meminimumkan impak," kata jurucakap Cruise, Hannah Lindow kepada AFP.

Rakaman video menunjukkan AV Cruise berhenti di atas wanita itu, manakala kereta lain meninggalkan tempat kejadian.

Menurut Jabatan Bomba San Francisco, wanita itu parah selepas tersepit di bawah AV berkenaan.

Bomba kemudian menghubungi pusat kawalan Cruise untuk memastikan kenderaan itu berhenti dengan selamat.

Ia kemudian menggunakan alat khas sebelum menyelamatkan wanita berkenaan, kata jurucakap jabatan dalam satu kenyataan.

"Keprihatinan dan fokus kami ialah kesejahteraan individu yang cedera dan kami secara aktif bekerjasama dengan polis untuk membantu mengenal pasti pemandu yang bertanggungjawab," kata Lindlow.

Pihak berkuasa California pada Ogos lalu memperluas perkhidmatan teksi tanpa pemandu di San Francisco, dengan memberikan laluan kepada pengendali Waymo dan Cruise untuk bersaing dengan perkhidmatan e-hailing dan teksi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2023 @ 1:46 PM