Riadz Radzi


MAJLIS karpet merah filem Black Panther di pusat beli-belah Times Square, Seoul, Korea Selatan, meriah dengan kehadiran pengarah dah tiga pelakon utamanya, malam ini.

Hampir 2,000 peminat memenuhi ruang legar pusat beli-belah berkenaan bagi mendapatkan tandatangan serta melakukan swafoto bersama pengarah Ryan Coogler dan tiga pelakon utamanya iaitu Chadwick Boseman, Lupita Nyong'o dan Michael B Jordan.

Empat selebriti terbabit nyata teruja dengan sambutan penonton dan menyifatkan ia antara acara promosi filem paling meriah pernah mereka sertai.

Lupita berkata, dia gembira berada di Seoul dan sambutan itu membuatkan dia berasa dihargai dan menganggap peminat seperti keluarganya.

"Kami seronok menghasilkan filem ini dan kami lakukannya untuk anda," katanya.

Dalam pada itu, Lupita turut dipuji dengan penampilannya yang cantik dan elegan.

"Terima kasih kerana memuji saya seorang yang cantik. Rahsia untuk kelihatan cantik ialah jadilah diri sendiri," katanya.

Black Panther turut dekat dengan peminat Korea Selatan kerana ia turut menjalani penggambaran di Busan. Malah, kira-kira 20 peminat dari Busan turut dibawa ke majlis itu.

Black Panther terbitan Marvel Studios bakal menemui penonton di Malaysia mulai 16 Februari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2018 @ 10:06 PM