GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
AP

New York: Seorang pesakit memandu ambulans yang dicurinya dari hospital New York City sejauh 40 kilometer sebelum berjaya dipintas pihak berkuasa dengan menggunakan alat pengempis tayar.

Jurucakap polis New York City berkata, insiden itu berlaku Khamis lalu.

Suspek berusia 47 tahun ialah pesakit yang dibawa ke Hospital Mount Sinai Morningside, Manhattan untuk pemerhatian perubatan.

Ambulans itu berada di luar perkarangan hospital dalam keadaan kunci masih berada dalamnya, namun tiada pemandu.

Dia kemudian masuk dan memandu ambulans itu kira-kira 5 pagi.

Ambulans itu dikesan GPS menuju ke utara melalui Westchester County di Interstate 87.

Anggota tentera negeri melihat ambulans berhampiran Tarrytown dan cuba menghalangnya, kata polis negeri New York dalam satu kenyataan berita.

Katanya, anggota tentera terpaksa mengejarnya apabila pemandu tidak mahu berhenti.

"Ambulans itu akhirnya dihentikan apabila anggota tentera meletakkan alat pengempis tayar di Jambatan Mario M Cuomo yang merentangi Sungai Hudson.

"Tayar ambulans itu pancit apabila lelaki itu cuba menyeberangi jambatan," katanya.

Suspek ditahan atas tuduhan termasuk rompakan besar-besaran, jenayah pemilikan harta curi dan memandu dalam keadaan melulu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2023 @ 1:40 PM