REMAJA melarikan ambulans berkenaan. FOTO Agensi
REMAJA melarikan ambulans berkenaan. FOTO Agensi
Agensi

New Delhi: Pesakit berusia 15 tahun di Kerala, selatan India memandu sebuah ambulans sejauh kira-kira lapan kilometer dari hospital dia dirawat, tanpa disedari semua pihak.

Dalam kejadian petang Isnin lalu itu, remaja terbabit melarikan kenderaan Perkhidmatan Ambulans 108 yang diletakkan di perkarangan Hospital Besar Thrissur.

Kejadian pelik itu disedari orang ramai ketika membantu 'pemandu' itu menolak kenderaan terbabit yang berhenti secara tiba-tiba di tepi jalan berhampiran pagar kereta api di Ollur.

Mereka yang curiga dengan pemandu itu membuat laporan polis.

Pemandu ambulans sebenar dan rakannya tiba di lokasi selepas berjaya mengesan kenderaan itu menggunakan sistem penentududukan sejagat (GPS).

Polis mendapatkan keterangan remaja itu sebelum menghantarnya semula ke hospital bersama ibu bapanya.

Selepas kejadian itu, dia dipindahkan ke hospital kolej perubatan.

Melihat kes itu, polis menjangkakan remaja itu berpengalaman memandu kenderaan.

Ambulans itu dianggarkan bergerak pada kelajuan purata 20 kilometer sejam (km/jam) hingga 30 km/jam dan tidak mengalami sebarang kemalangan.

Sementara itu, pegawai perubatan daerah, Dr Sreedevi mengarahkan siasatan dalaman dilakukan terhadap kes yang dilaporkan kepada polis

Menurut maklumat awal, pemandu asal, Bijo George ke tandas selepas meletakkan kenderaan itu tanpa mengambil kunci.

Kesempatan itu digunakan remaja lelaki itu untuk melarikan kenderaan itu.

Pemandu, digantung tugas kerana tidak mematuhi prosedur keselamatan semasa meletakkan ambulans itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2022 @ 3:14 PM