ARNAB Pigmi Lembangan Columbia. FOTO Agensi
ARNAB Pigmi Lembangan Columbia. FOTO Agensi
Agensi

New York: Arnab Pigmi Lembangan Columbia dianggap unik kerana menjadi baka arnab terkecil dan mungkin paling jarang ditemui di dunia.

Oddity Central melaporkan, haiwan itu berasal dari satu kawasan di Washington, Amerika Syarikat. Beratnya di bawah 500 gram (g) dan boleh muat tapak tangan orang dewasa.

Bagaimanapun, agak sukar dan kemungkinan besar tidak akan ada orang dapat memilikinya kerana status haiwan itu yang sangat terancam.

Baka itu diisytiharkan pupus di hutan pada 2001, apabila 14 haiwan itu yang terakhir diambil dari habitat asal dan dimasukkan ke dalam program pembiakan.

Walaupun dengan usaha terbaik saintis, haiwan itu tidak membiak sebaik yang diharapkan dalam kurungan.

Sebahagian besarnya disebabkan oleh usaha pembiakan membabitkan populasi yang kecil.

Baka tulen arnab jantannya mati pada 2006, manakala seekor lagi (baka tulen jantan) mati mengejut pada 2008.

Pembangunan untuk pertanian, dan kebakaran hutan antara sebab utama ia diisytiharkan pupus, bersama-sama faktor lain menjadi makanan haiwan pemangsa.

Arnab dewasa mempunyai berat antara 375 dan 500 g, dan mempunyai panjang badan antara 23.5 dan 29.5 sentimeter. Arnab betina lebih besar sedikit daripada arnab jantan.

Namun, menurut Oddity Central, jika ada yang berminat untuk menjadikan arnab sebagai haiwan peliharaan, pilihan terbaik adalah Arnab Kerdil Belanda.

Arnab jenis itu berharga antara AS$30 (kira-kira RM131) dan AS$90 (kira-kira RM393).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2023 @ 11:33 AM