SUSPEK kes culik berkenaan. FOTO AP
SUSPEK kes culik berkenaan. FOTO AP
AP

Washington: Seorang suspek lelaki yang menculik sebuah keluarga Sikh di tengah California, Amerika Syarikat, kini kritikal selepas cuba membunuh dirinya sendiri, semalam.

Pejabat Syerif Merced dalam satu kenyataan berkata, suspek dikenal pasti sebagai Jesus Salgado, 48, selepas lelaki itu dikesan menggunakan kad pengeluaran wang automatik (ATM) milik mangsa.

Katanya, keluarga itu termasuk seorang bayi berusia lapan bulan yang diculik di sebuah kawasan perniagaan di Merced, Isnin lalu, masih belum ditemukan.

"Detektif memperoleh gambar rakaman kamera litar tertutup di kawasan ATM di Atwater, sebuah bandar kira-kira 14 kilometer di utara Merced.

"Suspek kelihatan sama dengan gambar pengawasan dari tempat kejadian penculikan itu," kata pejabat itu yang turut mengeluarkan dua imej suspek dan meminta bantuan orang ramai untuk membantu mengenal pastinya.

Menurut kenyataan itu lagi, pegawai penyiasat menerima maklumat yang mengenal pasti Salgado sebagai suspek.

"Suspek cuba membunuh dirinya sendiri sebelum polis tiba," katanya tanpa memberikan perincian lokasi penahanan suspek.

Syerif Merced, Vern Warnke dalam video disiarkan di Facebook, Isnin lalu, mendedahkan, suspek menculik bayi, Aroohi Dheri; ibunya, Jasleen Kaur, 27; bapanya, Jasdeep Singh, 36 dan bapa saudaranya, Amandeep Singh, 39.

"Penculik itu tidak meminta wang tebusan atau (mempunyai) sebarang hubungan (dengan mangsa)," katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Jakara Movement, sebuah pertubuhan komuniti Punjabi Sikh di tengah California, Naindeep Singh berkata, empat sekeluarga itu diculik dari stesen minyak dan kedai serbaneka yang mereka usahakan.

Katanya, kehilangan keluarga itu dimaklumkan saudara-mara mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2022 @ 12:27 PM