ORANG ramai beratur mendapatkan vaksin cacar monyet di Hospital Awam San Francisco, baru-baru ini. FOTO AFP
ORANG ramai beratur mendapatkan vaksin cacar monyet di Hospital Awam San Francisco, baru-baru ini. FOTO AFP
AFP

Washington: Amerika Syarikat (AS) mengisytiharkan cacar monyet sebagai darurat kesihatan awam pada Khamis selepas wabak terbabit menjangkiti lebih 6,600 penduduk negara itu, kira-kira satu perempat daripadanya dari New York.

Pengisytiharan itu juga sebagai langkah awal negara itu mengeluarkan dana baharu, pengumpulan data dan membenarkan penempatan kakitangan tambahan dalam memerangi penularan wabak berkenaan, selain pakar memberi amaran tindakan pantas diperlukan jika wabak itu ingin dibendung pada peringkat awal.

"Kami bersedia mengambil tindak balas ke peringkat seterusnya dalam menangani virus ini. Kami menggesa setiap rakyat AS mengambil serius penularan cacar monyet dan mengambil tanggungjawab membantu kami menangani virus ini," kata tua Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia (HHS) AS, Xavier Becerra.

AS setakat ini sudah memberikan kira-kira 600,000 vaksin JYNNEOS tetapi jumlah ini masih jauh untuk kira-kira 1.6 juta penduduk negara itu yang dianggap berisiko tinggi dan paling memerlukan vaksin itu.

Kekangan rantaian bekalan bermakna negara itu hanya menerima penghantaran 150,000 vaksin JYNNEOS dari syarikat Denmark, Bavarian Nordic yang dibiayai Persekutuan AS menjelang September, kata Pegawai Kanan HHS Dawn O'Connell.

Kira-kira 99 peratus daripada penularan kes itu di AS setakat ini dalam kalangan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki, kata HHS minggu lalu, dan golongan itu menjadi sasaran pihak berkuasa dalam strategi vaksinasi nasional.

Berbeza dengan wabak sebelumnya di Afrika, virus itu kini kebanyakannya merebak melalui aktiviti seksual, tetapi Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS mengatakan ia juga boleh berjangkit melalui aktiviti lain seleperti berkongsi peralatan tempat tidur, pakaian dan hubungan bersemuka yang berpanjangan.

Setakat ini, tiada kematian dilaporkan di AS berikutan penularan wabak itu dengan semua pesakit pulih, bagaimanapun ada yang memerlukan rawatan di hospital kerana tahap kesakitan serius.

Kira-kira 14,000 dos antivirus dikenali sebagai tecovirimat, atau TPOXX sudah digunakan merawat penyakit itu tetapi ia dibangunkan untuk melawan cacar biasa dan keberkesanannya terhadap cacar monyet masih belum difahami sepenuhnya.

Pengisytiharan dibuat AS itu itu juga tidak lama selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menetapkan wabak itu sebagai darurat kesihatan awam bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Ogos 2022 @ 11:03 AM