AHLI sekolah samba Viradouro membuat persembahan ketika hari pertama perarakan Karnival Rio di Rio de Janeiro pada 23 Februari 2020. FOTO AFP
AHLI sekolah samba Viradouro membuat persembahan ketika hari pertama perarakan Karnival Rio di Rio de Janeiro pada 23 Februari 2020. FOTO AFP
AFP

Rio de Janeiro: Karnival Rio yang dijadualkan pada Februari 2021 bakal ditangguhkan, berikutan Brazil yang masih berjuang dalam membendung penularan wabak Covid-19.

Karnival itu yang berlangsung setiap tahun adalah perarakan terbesar dan terkenal di dunia, membawa bersama festival samba, parti jalanan serta pelbagai acara lain.

Ia berisiko menjadi pusat epidemik wabak sekiranya berlangsung kerana mampu menghimpunkan jutaan pengunjung termasuk pelancong untuk berhibur, menari serta berpesta.

Sebelum ini, sekolah samba elit di bandar raya ini yang biasanya menghabiskan sepanjang tahun untuk membuat persiapan pertandingan perarakan dilapor berkata, sukar untuk menganjurkan karnival edisi terbaharu itu sekiranya vaksin Covid-19 masih belum ada.

Dalam mesyuarat terbaharu, Presiden Kumpulan Penganjur, Independent League of Samba Schools of Rio de Janeiro (LIESA), Jorge Castanheira akhirnya mengumumkan keputusan pihaknya menangguhkan pertandingan perarakan Karnival Rio.

"Kita tidak boleh mengadakannya pada Februari. Sekolah-sekolah samba tidak akan mempunyai masa atau sumber kewangan dan organisasi untuk buat persiapan.

"Ia bukan dibatalkan tetapi hanya ditangguhkan. Kita akan mencari penyelesaian alternatif, sesuatu yang kita boleh lakukan apabila keadaan selamat. Namun kita belum ada tarikh tertentu," katanya kepada media.

Karnival Rio dianjurkan dengan pelbagai acara, daripada pertandingan perarakan sekolah samba elit yang diuruskan LIESA kepada pertunjukan tidak rasmi seperti pesta bloco dan parti jalanan.

Pengumuman LIESA terguna pakai untuk pertandingan anjurannya. Pihak berkuasa tempatan masih belum membuat pengumuman sama ada pesta bloco dibenarkan atau tidak.

Rio de Janeiro menjadi bandar raya kedua di Brazil selepas Sao Paulo terjejas teruk akibat wabak itu dengan 18,000 kematian setakat ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2020 @ 12:39 PM