Reuters

New York: Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng dijatuhi hukuman penjara 10 tahun atas tuduhan menggelapkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hukuman itu dijatuhi Mahkamah Persekutuan Brooklyn selepas bekas ketua perbankan pelaburan Goldman di Malaysia didapati bersalah kerana membantu majikannya Tim Leissner menggelapkan wang daripada dana dan merasuah pegawai kerajaan.

Tuduhan itu berhubung tindakan Goldman membantu 1MDB mendapatkan AS$6.5 bilion (RM29.4 bilion) bagi membiayai projek pembangunan di Malaysia pada 2012 dan 2013.

Pendakwa raya AS berkata, daripada jumlah itu sebanyak AS$4.5 bilion (RM20.3 bilion) digelapkan oleh pegawai, bank dan sekutu mereka dalam salah satu skandal terbesar sejarah Wall Street.

Jabatan Kehakiman berkata, dana itu digunakan untuk membeli hartanah mewah, barang kemas dan karya seni dan membiayai filem Hollywood The Wolf of Wall Street.

Hakim Daerah AS, Margo Brodie yang menjatuhkan hukuman itu berkata, Ng dan defendan bersama-sama mencuri wang bagi projek pembangunan infrastruktur dan ekonomi untuk membantu rakyat Malaysia.

"Terdapat keperluan kritikal untuk menghalang jenayah tamak seperti ini," kata Brodie.

Pendakwa Raya menggesa Brodie supaya menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun kepada Ng.

Peguam bela tertuduh Marc Agnifilo memberitahu pemberita selepas perbicaraan itu bahawa anak guamnya akan memfailkan rayuan atas hukuman terbabit.

Ng mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima bayaran sogokan berjumlah AS$35 juta (RM158 juta).

Ng mendakwa bayaran itu sebenarnya adalah pulangan atas pelaburan yang dibuat isterinya.

Peguam memohon supaya Ng dibenarkan pulang ke Malaysia selepas enam bulan berada di penjara yang mengganggu kesihatan mentalnya.

Ng berkata dia mahu menjaga ibunya yang sudah tua dan bersama anak perempuannya.

"Kali terakhir saya memeluknya adalah lima tahun lalu. Dia berusia enam tahun ketika itu dan akan menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-11 pada Jun ini," katanya.

Brodie berkata, beliau memandang serius kesan hukuman terhadap kanak-kanak, namun perpisahan Ng dengan anak perempuannya disebabkan keadaan tidak mengizinkan berikutan dakwaan itu.

Terdahulu, ketua Goldman di Asia Tenggara, Leissner mengaku bersalah dan memberi keterangan bahawa Ng sebahagian daripada perjanjian kerjasama dan masih belum dijatuhkan hukuman.

Jho Low, seorang pembiaya Malaysia dan disyaki dalang dana itu didakwa bersama Ng pada 2018 tetapi masih bebas.

Pada Oktober 2020, Goldman bersetuju membayar AS$2.9 bilion (RM13 bilion) selepas mengaku bersalah atas pertuduhan rasuah.

Skandal 1MDB menggegarkan politik Malaysia dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas disabitkan oleh mahkamah atas pertuduhan menerima dana 1MDB.

Najib secara konsisten menafikan salah laku itu.

Roger Ng. FOTO REUTERS
Roger Ng. FOTO REUTERS

Roger Ng. Lakaran lukisan Roger Ng ketika di dalam mahkamh. FOTO REUTERS
Roger Ng. Lakaran lukisan Roger Ng ketika di dalam mahkamh. FOTO REUTERS

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mac 2023 @ 11:57 AM