TAJ Mahal ditutup sejak pertengahan Mac lalu sebagai   langkah memerangi pandemik Covid-19.
TAJ Mahal ditutup sejak pertengahan Mac lalu sebagai langkah memerangi pandemik Covid-19.
Agensi

NEW DELHI: Ikon pelancongan India, Taj Mahal terus ditutup kepada pengunjung berikutan peningkatan kes harian jangkitan Covid-19.

Sehingga semalam, 697,358 kes dilaporkan dengan 24,000 kes baharu dalam tempoh 24 jam selain 613 kematian.

AFP melaporkan India kini menjadi negara ketiga paling teruk terjejas selepas Amerika Syarikat (AS) dan Brazil serta melepasi angka dicatatkan Russia.

Peningkatan jangkitan berlaku ketika pihak berkuasa tempatan di utara kota Agra mengatakan Taj Mahal, satu daripada Tujuh Keajaiban Dunia Baharu, tetap ditutup kepada pengunjung walaupun kerajaan berpendapat untuk membenarkan ia dibuka kembali.

Taj Mahal ditutup sejak pertengahan Mac lalu sebagai langkah memerangi pandemik Covid-19.

Berdasarkan dokumen dikeluarkan Majistret Daerah Agra, Prabhu N Singh, Taj Mahal dilaporkan berada dalam zon penahanan.

Zon penahanan merekodkan kadar jangkitan tinggi, dengan semua aktiviti kecuali perkhidmatan penting dihentikan.

Monumen utama lain, termasuk Benteng Agra dan Sikandra, makam maharaja Mughal Akbar The Great juga ditutup, kata dokumen itu.

Taj Mahal dan monumen Agra utama lain terletak di kawasan perumahan berpenduduk tinggi yang kebanyakannya dikategorikan sebagai zon penahanan.

Di ibu kota, New Delhi, kakitangan perubatan mula merawat pesakit di pusat kerohanian yang ditukar menjadi pusat kuarantin dan hospital dengan 10,000 katil.

Pegawai kerajaan negeri bimbang New Delhi dengan populasi 25 juta orang mencatat lebih daripada setengah juta kes jangkitan Covid-19 menjelang akhir bulan ini.

Malah, pihak berkuasa tempatan di bandar raya itu juga menukar beberapa hotel dan dewan majlis perkahwinan untuk dijadikan pusat rawatan selain bersiap sedia mengubah suai gerabak kereta api bagi tujuan sama.

Selain New Delhi, Mumbai turut mencatatkan kes jangkitan Covid-19 yang tinggi dengan 10,000 kes dan hampir 5,000 kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2020 @ 6:01 AM