China hasilkan 89 juta penutup hidung dan mulut tidak berkualiti.
China hasilkan 89 juta penutup hidung dan mulut tidak berkualiti.
AFP

Beijing: China merampas 89 juta penutup hidung dan mulut kurang berkualiti, kata pegawai kerajaan.

Beijing berdepan pelbagai aduan alat perlindungan diri (PPE) tidak berkualiti yang dieksport ke seluruh dunia berikutan permintaan tinggi akibat Covid-19.

Namun, kebanyakan negara yang membuat aduan mengenai kerosakan penutup mulut dan hidung serta pelbagai barangan eksport dari China itu banyak digunakan petugas perubatan dan mereka yang terdedah wabak itu.

Setakat Jumaat, pihak berkuasa yang mengawal selia pasaran China memeriksa hampir 16 juta perniagaan dan merampas lebih 89 juta penutup hidung dan mulut serta 418,000 PPE lain.

Timbalan Pengarah Pengawal Selia Pasar Pentabiran Negeri, Gan Lin berkata, pihak berkuasa turut merampas pembasmi kuman kurang efektif bernilai lebih 7.6 juta yuan (RM4.7 juta).

Susulan itu, China mengeluarkan peraturan baharu dengan menyatakan penutup hidung dan mulut bukan keperluan perubatan juga harus menepati piawaian nasional dan antarabangsa.

Menurut Kementerian Perdagangan dalam satu kenyataan menegaskan, pengeksport harus membuat pengakuan bertulis produk perubatan mereka memenuhi syarat keselamatan negara dihantar.

Peraturan ketat itu dilaksanakan selepas beberapa negara termasuk Sepanyol, Belanda, Republik Czech dan Turki terpaksa memulangkan kembali ratusan ribu penutup hidung dan mulut dan PPE tidak berkualiti diimport dari China.

Sementara itu, kerajaan Kanada minggu lalu turut mendedahkan sejuta penutup mulut dan hidung dibeli dari China tidak memenuhi standard piawaian profesional penjagaan kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 April 2020 @ 4:53 PM