AHMAD Zhafaran (dua dari kiri) menerima sumbangan perlindungan diri dan kesihatan untuk digunakan petugas media di lapangan daripada wakil One Hope Charity and Welfare, Lee Pei Pei di Jalan Kota Permai, Bukit Mertajam. FOTO Ihsan Kelab Media Mutiara Pulau Pinang
AHMAD Zhafaran (dua dari kiri) menerima sumbangan perlindungan diri dan kesihatan untuk digunakan petugas media di lapangan daripada wakil One Hope Charity and Welfare, Lee Pei Pei di Jalan Kota Permai, Bukit Mertajam. FOTO Ihsan Kelab Media Mutiara Pulau Pinang
Nur Izzati Mohamad


MASYARAKAT tidak akan mengetahui maklumat dan perkembangan semasa mengenai Covid-19 sekiranya tanpa inisiatif pihak media yang bertungkus lumus turun ke lapangan mendapatkan bahan berita.

Walaupun terdedah dengan jangkitan virus berbahaya itu mereka tetap menggalas tanggungjawab bagi memastikan laporan yang diterima masyarakat adalah sahih dan tepat.

Penat jerih pihak media mendapat perhatian badan bukan kerajaan (NGO) One Hope Charity and Welfare berpusat di Jalan Kota Permai, di Bukit Mertajam yang menyumbangkan 51 set peralatan perlindungan diri dan kesihatan berupa penutup hidung dan mulut, cecair pembasmi kuman serta cecair pencuci tangan kepada warga Kelab Media Mutiara Pulau Pinang (Mutiara).

Pengerusi pertubuhan berkenaan, Chua Sui Hau berkata, sejak awal Februari, pihaknya menyumbang pelbagai peralatan perubatan termasuk peralatan perlindungan diri (PPE) dan keperluan kesihatan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dan hospital kerajaan yang kini mencecah lebih RM1 juta bagi membantu petugas barisan hadapan negara memerangi Covid-19.

Katanya, sumbangan itu merangkumi penutup hidung dan mulut, perisai muka, penutup kepala, jubah pengasingan, alat pengesan suhu, khemah, cecair pembasmi kuman, cecair pencuci tangan, ‘Vital Sign Monitor’, stethoscope, kipas angin dan sebagainya.

“Bagi kami, media juga sebahagian daripada wira barisan hadapan yang berkhidmat untuk masyarakat kerana sanggup menggadaikan nyawa ketika penularan Covid-19 demi melaporkan berita yang sahih dan tepat.

“Jadi, kami terpanggil untuk menjaga rakan media di negeri ini dan diharapkan sumbangan kecil yang diberikan dapat membantu mereka bertugas di lapangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Set PPE dan kesihatan itu disumbangkan wakil One Hope Charity, Lee Pei Pei kepada Presiden Mutiara, Ahmad Zhafaran Mohammed Nasib.

Sementara itu, Ahmad Zhafaran berkata, pihaknya berunding dengan pelbagai pihak untuk mendapatkan sumbangan penutup muka dan mulut serta cecair pembasmi kuman bagi membolehkan ahli yang terdiri daripada wartawan dan jurugambar dilindungi ketika bertugas.

“Syukur ramai pihak terutamanya NGO prihatin dengan nasib petugas media di negeri ini. Kami berterima kasih serta menghargai pertolongan diberikan,” katanya.

Dalam pada itu, petugas media di negeri ini turut menerima sumbangan penutup hidung dan muka daripada Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang dan Spritzer Berhad yang menyumbangkan 50 karton air mineral.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2020 @ 3:32 PM