Gambar hiasan. Osaka rayu sumbangan baju hujan untuk PPE petugas perubatan. FOTO Google
Gambar hiasan. Osaka rayu sumbangan baju hujan untuk PPE petugas perubatan. FOTO Google
Agensi

TOKYO: Datuk Bandar Osaka, Ichirō Matsui merayu masyarakat menyumbang baju hujan untuk menampung kekurangan peralatan perlindungan diri (PPE) barisan petugas hadapan.

Memetik laporan wakil Tribunnews di Jepun, Matsui mengumumkan, baju hujan tidak terpakai itu akan dikumpul dan diagihkan di pelbagai hospital di sekitar bandar itu.

“Kepada yang mempunyai baju hujan lebih, sila hubungi kami untuk dikumpulkan di pejabat kami.

“Sekarang kita sangat memerlukannya kerana bekalan sedia ada semakin berkurangan untuk kegunaan petugas perubatan,” katanya yang membuat pengumuman rasmi itu di Osaka.

Turut hadir ialah Gabenor Osaka Hirofumi Yoshimura.

Kekurangan PPE di Jepun kritikal hingga menyebabkan satu kluster petugas perubatan di beberapa hospital dijangkiti wabak itu.

Ia pernah disuarakan Ketua Persatuan Perubatan Jepun, Dr Takakura kepada Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe, 7 April lalu.

Kerajaan sudah mengarahkan industri berkaitan memperbanyakkan pengeluaran PPE termasuk ventilator.

Di Jepun, unit ventilator hanya ada 13,000 unit saja.

Sementara itu, pemasaran penutup hidung dan mulut akan kembali normal menjelang penghujung April ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2020 @ 3:12 PM