AFP

ANTANANARIVO: Dua orang terbunuh di Madagascar selepas Siklon Belna melanda barat laut negara itu, menyebabkan banjir besar sehingga memaksa ratusan penduduk berpindah.

Siklon tropika itu melanda wilayah Boeny semalam selepas melalui pulau Mayotte dan kepulauan Comoros.

“Seorang kanak-kanak dan seorang warga emas tidak sempat menyelamatkan diri mereka, selepas empangan runtuh,” kata ketua Pengurusan Risiko Bencana Nasional Madagaskar (BNGRC), Elack Andriakaja.

Siklon itu membawa hujan lebat dan mencapai kelajuan angin maksimum sehingga 180 kilometer sejam dan mampu melayangkan bumbung serta kerosakan besar lain.

BNGRC berkata, sekitar 1,300 orang dipindahkan di bandar Soalala manakala 172 orang termasuk 120 kanak-kanak di bandar pelabuhan Mahajanga.

Kedua-dua kematian yang dilaporkan itu, setakat ini berlaku di Soalala yang dibanjiri air daripada empangan runtuh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Disember 2019 @ 10:35 PM