PEMANDU teksi yang ditahan kerana mengenakan bayaran tambang melampau. FOTO: Agensi
PEMANDU teksi yang ditahan kerana mengenakan bayaran tambang melampau. FOTO: Agensi
Agensi

HONG KONG: Seorang pemandu teksi cekik darah ditangkap polis selepas mengenakan bayaran HK$100 (RM53) untuk perjalanan sejauh satu kilometer, empat kali ganda lebih tinggi berbanding tambang sepatutnya.

South China Morning Post melaporkan, pemandu teksi itu ditangkap beberapa anggota polis yang menyamar sebagai pelanggan kelab malam di daerah hiburan Lan Kwai Fong kelmarin.

Pemandu berusia 49 tahun itu ditahan di Jalan D’Aguilar selepas perjalanan pendek ke Hotel Holiday Inn Express di Jalan Jervois Sheung Wan pada jam 1 pagi (waktu tempatan).

“Sebelum menaiki teksi, pemandu itu memberitahu tambang adalah HK$100,” kata jurucakap polis.

Kata jurucakap itu, tambang teksi biasa untuk perjalanan pendek seperti itu adalah HK$24 (RM13).

Selepas tiba di hotel dan membayar tambang, anggota polis itu menahan pemandu teksi berkenaan kerana mengenakan tambang melampau.

Menurut jurucakap itu lagi, pemandu teksi itu bakal didakwa atas tuduhan mengenakan tambang melampau dan berdepan hukuman penjara enam bulan serta denda HK$10,000 (RM5,333).

Pemandu teksi itu kemudian dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu siasatan selesai.

Polis memberitahu, Lan Kwai Fong, Terminal The Peak Tram dan kawasan beli-belah Tsim Sha Tsui adalah antara kawasan tumpuan pelancong dan pemandu teksi sering mengambil kesempatan dengan mengenakan tambang yang mahal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Jun 2019 @ 8:57 PM