FOTO Agensi.
FOTO Agensi.
AFP

QUITO: Seorang lelaki Jepun dijatuhi hukuman penjara dua tahun di Ecuador selepas cuba menyeludup pelbagai jenis serangga keluar dari negara itu, kata pihak berkuasa semalam.

Defendan ditahan di lapangan terbang antarabangsa di Quito pada Mac lalu bersama 248 labah-labah, lipas, tebuan, lebah dan kupu-kupu di dalam beg pakaiannya, kata kementerian alam sekitar dalam satu kenyataan.

Penyeludup dikenali sebagai Hirokazu S itu didenda AS$4,000 (RM16,645) dan diarah membuat permohonan maaf terbuka di akhbar tempatan, kata kementerian itu.

Negara di Amerika Selatan dengan kira-kira 17 juta penduduk itu adalah antara negara terkaya dengan kepelbagaian biodiversiti di dunia ini.

Pihak berkuasa mengharamkan pemburuan, penangkapan dan penjualan semua haiwan liar, namun perdagangan haram masih berlarutan di seluruh rantau Amazon.

Difahamkan, defendan cuba membawa serangga terbabit, lima darinya hanya didapati di Ecuador dan beberapa lagi serangga yang masih hidup, ke pulau Hokkaido di utara Jepun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 10:03 AM