BANGKAI pesawat AS-Bangla Airlines yang terhempas. - Foto dailytimes.com.pk
BANGKAI pesawat AS-Bangla Airlines yang terhempas. - Foto dailytimes.com.pk

KATHMANDU : Juruterbang pesawat Bangladesh yang terbabit dalam nahas terburuk Nepal sejak 26 tahun lalu dilihat mengalami tekanan emosi sebelum tragedi.

Insiden berkenaan dikatakan berpunca dari kegagalan kru pesawat menilai situasi sebenar sehingga menyebabkan pesawat AS-Bangla Airlines yang sedang dalam penerbangan dari Dhaka ke ibu negara Nepal itu terbakar ketika mendarat di Kathmandu, meragut 51 daripada 71 nyawa keseluruhan.

“Juruterbang menyangkakan dia mampu mengendalikan pesawat terbabit dan mendarat. Tetapi malangnya tidak,” kata panel penyiasat, Buddhisagar Lamichhane merujuk kepada kapten berkenaan.

Suruhanjaya Siasatan Kemalangan Nepal (NAIC) dalam laporan terbabit berkata, juruterbang itu berada dalam keadaan tertekan dan emosi terganggu kerana merasakan seorang rakan sekerja wanita yang tidak berada dalam pesawat berkenaan meragui reputasinya sebagai seorang jurulatih.

“Faktor ini, bersama kegagalan kru pesawat mematuhi prosedur operasi standard pada saat kritikal, membawa kepada berlakunya nahas terbabit,” kata laporan itu yang diserahkan lewat malam Ahad.

Semua faktor berkenaan menyebabkan kru pesawat tidak menyedari bahawa haluan pesawat Bombardier Inc Q400 itu tersasar dan tidak dapat melihat kedudukan sebenar landasan.

Ia membuatkan pesawat berkenaan terbang rendah ke utara dalam kedudukan salah berdekatan lereng gunung dan kawasan berbukit di sekitar lapangan terbang.

“Apabila kru pesawat akhirnya berjaya mengesan kedudukan landasan, ia sudah terlalu rendah, terlalu hampir dan tidak selari sepenuhnya,” tambah laporan itu dengan berkata, juruterbang terbabit seharusnya menangguhkan pendaratan dan membuat pusingan lain sebelum mendarat.

Kapal terbang berkenaan terbabas ke bahagian berumput sebelum terbakar, membunuh kedua-dua juruterbang dan 49 mangsa lain.

Syarikat penerbangan AS-Bangla Airlines bagaimanapun tidak memberikan sebarang komen ketika diminta berbuat demikian. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 January 2019 @ 12:10 PM