FOTO fail menunjukkan pasukan penyelamat mengeluarkan mayat mangsa pesawat Yeti Airlines. FOTO AFP
FOTO fail menunjukkan pasukan penyelamat mengeluarkan mayat mangsa pesawat Yeti Airlines. FOTO AFP
AFP

Kathmandu: Kesilapan juruterbang menyebabkan nahas pesawat di Nepal, Januari lalu, yang mengorbankan kesemua 72 penumpang dan anak kapal, kata seorang pegawai pada Jumaat.

Ia selepas siasatan selama berbulan-bulan mengenai bencana penerbangan terburuk negara itu dalam tempoh tiga dekad.

Ketika kejadian, pesawat Yeti Airlines terhempas ketika terbang dari Kathmandu ke Pokhara.

Pesawat ATR 72 dengan 68 penumpang dan empat anak kapal terjunam ke dalam gaung yang curam, hancur dan terbakar ketika menghampiri destinasinya.

Enam kanak-kanak dan 15 warga asing adalah antara yang terbunuh.

Anggota suruhanjaya penyiasat Buddhi Sagar Lamichhane bekata, siasatan sudah membuat kesimpulan bahawa tuil yang salah ditarik di dalam kokpit.

"Secara teknikal, pesawat itu baik-baik saja tetapi nampaknya input manusia yang salah menyebabkan ia (pesawat) terhenti dan terhempas," katanya.

Laporan itu, yang dikemukakan kepada kementerian pelancongan pada Khamis berkata, punca paling berkemungkinan bagi kemalangan maut itu adalah pergerakan tidak disengajakan kedua-dua tuil tentu (condition lever) kepada feathered position ketika penerbangan.

Dengan mengalihkan fungsi kipas kepada feathered position, ia menghalangnya daripada menghasilkan tujahan, yang menurut laporan itu bertanggungjawab untuk pesawat itu terhenti dan kemudiannya terhempas.

Rakaman media sosial daripada nahas itu menunjukkan pesawat dengan dua kipas membelok ke kiri secara tiba-tiba ketika ia menghampiri lapangan terbang Pokhara.

"Isu faktor manusia seperti beban kerja yang tinggi dan tekanan yang nampaknya mengakibatkan kesilapan pengecaman dan pemilihan kipas," kata laporan itu.

Ia juga berkata, anak kapal terlepas petunjuk untuk dek penerbangan yang berkaitan dan enjin, bahawa kedua-dua kipas berada dalam feathered position.

Nepal juga mempunyai beberapa landasan paling rumit dan terpencil di dunia, diapit oleh puncak gunung yang dilitupi salji dan cuaca yang berubah-ubah.

Nahas penerbangan paling maut ialah pada 1992, apabila kesemua 167 orang di dalam jet Pakistan International Airlines terbunuh apabila ia terhempas ketika menghampiri Kathmandu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Disember 2023 @ 12:04 PM