Kelly.
Kelly.

Kuala Lumpur: Penyanyi dan pengacara Kelly Azman sanggup berhabis ribuan ringgit untuk mempunyai mikrofon peribadi seperti yang dimiliki beberapa penyanyi ternama.

Kelly atau nama sebenarnya Raja Azman Raja Ayob, 45, berkata, dia membeli mikrofon terbabit demi menjaga suara dan kebersihan diri.

"Mungkin ramai yang akan mempersoal tindakan saya mempunyai mikrofon peribadi. Sebenarnya mikrofon penting bagi setiap penyanyi atau mana-mana individu yang terbabit dalam industri muzik. Itulah instrumen penyanyi selain suara.

"Lagipun mikrofon peribadi ini akan sentiasa bersama kita dan tidak perlu berkongsi dengan orang lain. Ketika saya membeli mikrofon ini, jurutera bunyi menyarankan mikrofon yang serasi dengan suara saya.

"Ini kerana, mikrofon boleh buat suara saya ringan, apabila bercakap ikut tonasi suara kita. Tak perlu jerit-jerit, bercakap macam biasa pun dah jelas," katanya.

Menurut Kelly, mikrofon yang digunakan adalah model pertama yang dilancarkan di Malaysia dan penyanyi Khai Bahar adalah artis pertama yang 'merasmikannya'.

"Saya rasa gembira apabila idola saya menggunakan mikrofon jenama sama. Saya sempat hantar mikrofon ke Singapura untuk customize warna dan kebetulan Khai Bahar pun hantar ke sana. Dia warna hijau, saya putih," katanya.

Dalam pada itu, Kelly menjawab kecaman netizen yang mendakwa dia tidak layak untuk memiliki mikrofon peribadi.

"Sudah ramai yang mula menyalak dan cuba mempersoal siapa saya nak pakai mikrofon sendiri. Itu hak sayalah nak pakai mikrofon sendiri, yang nak menyalak kenapa?

"Jujur saya tak hairan dengan apa orang cakap. Pesan saya kepada artis baharu yang nak berada dalam bidang seni suara tolong guna mikrofon sendiri. Ia untuk keselamatan dan menjaga kebersihan kita sebagai artis agar tidak berkongsi mikrofon dengan orang lain," katanya yang pernah terbabit sebagai juri All Together Now Malaysia sebelum ini.

Dalam masa sama, Kelly memberitahu dia bakal melancarkan single baharu tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2022 @ 10:18 PM