Pichai ambil tindakan. FOTO CNBC
Pichai ambil tindakan. FOTO CNBC
AFP

SAN FRANCISCO: Google memecat 48 kakitangannya sejak dua tahun lalu berpunca daripada dakwaan mengenai perbuatan mereka melakukan gangguan seksual.

Firma teknologi itu memberitahu semalam bahawa ia telah memperketat peraturan mengenai peri laku tidak senonoh membawa kepada pemecatan berkenaan di mana 13 daripada mereka adalah eksekutif kanan.

“Kami amat serius dalam usaha memastikan keadaan di tempat kerja adalah selamat dan inklusif. Kami mahu beri jaminan bahawa kami mengkaji semula setiap aduan mengenai gangguan seksual atau peri laku tidak senonoh.

“Kami lakukan siasatan dan ambil tindakan,” menurut kenyataan ketua eksekutif Google, Sundar Pichai.

Syarikat itu mengeluarkan kenyataan berkenaan susulan daripada laporan akhbar New York Times (NYT) mengenai seorang kakitangan Google, Andy Rubin yang juga pencipta Android.

NYT mendakwa, Rubin menerima pakej tamat kerja AS$90 juta (RM375.84 juta) ketika menghadapi dakwaan mengenai kesalahan peri laku dan Google turut menyembunyikan dakwaan lain mengenai gangguan seksual.

Ditanya oleh agensi berita AFP dan media lain kepada perkara itu, Google menyiarkan butir-butir emel kepada pekerjanya dari Pichai.

Emel itu menyatakan bahawa 48 orang telah ditamatkan perkhidmatan kerana melakukan gangguan seksual dalam tempoh dua tahun lalu termasuk 13 yang berjawatan pengurus kanan ke atas dan tiada yang menerima sebarang pakej tamat kerja seumpama itu.

“Sejak beberapa tahun lalu, kami membuat beberapa perubahan termasuk memberi amaran lebih keras terhadap peri laku tidak senonoh membabitkan pihak yang memegang kuasa,” kata Pichai.

Beliau juga berkata, laporan mengenai Rubin dan orang lain ‘sukar ditafsir’ tetapi tidak mengulas secara terperinci dakwaan dalam laporan NYT.

Jurucakap Rubin, Sam Singer, menolak dakwaan ke atasnya dalam kenyataan kepada AFP dengan memberitahu bahawa Rubin berhenti atas keputusan sendiri bagi melancarkan firma teknologi, Playground, sebelum mengasaskan syarikat telefon pintar Essential.

NYT merujuk kepada dokumen mahkamah dan wawancara tertentu ketika melaporkan bahawa Rubin adalah antara tiga eksekutif kanan yang dilindungi Google daripada aduan mengenai perlakuan gangguan seksual selama satu dekad.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Oktober 2018 @ 4:49 PM