Dewji diculik ketika hendak bersenam. FOTO ES
Dewji diculik ketika hendak bersenam. FOTO ES
Reuters

DAR ES SALAAM: Berhasrat nak bersenam tetapi tak sempat.

Itulah yang berlaku kepada ahli perniagaan Tanzania dan bekas anggota Parlimen dari parti pemerintah CCM apabila ditahan beberapa lelaki tidak dikenali di ibu negara hari ini.

Mohammed Dewji, pemilik dan presiden Mohammed Enterprises Tanzania Ltd (METL Group), ditahan ketika tiba untuk melakukan senaman pagi di sebuah hotel mewah di kawasan komersial ibu negara itu.

Pesuruhjaya Rantau Dar es Salaam, Paul Makonda memberitahu bahawa ahli perniagaan itu diculik dua lelaki ketika baru mahu masuk ke dalam hotel.

Penculik melepaskan tembakan dan kemudian membuka pintu,” kata Makonda yang memberitahu bahawa pasukan keselamatan sedang mencari Dewji.

Beberapa saksi termasuk pengawal keselamatan yang berada di pintu masuk hotel, sedang disoal siasat, katanya lagi.

Dewji, bilionair termuda Afrika dipilih ke Parlimen sebagai calon CM tetapi tidak mahu bertanding sekali lagi untuk kekal wakil rakyat kawasannya sejak menang pada pilihan raya 2015.

Syarikat METL mempunyai lebih 30 kilang yang membuat produk pengguna daripada basikal, sabun basuh hinggalah minyak masak dan minuman.

Pelaburannya pula membabitkan sektor pertanian, infrastruktur, tenaga dan telefon bimbit.

Syarikat itu beroperasi di 11 negara Afrika, terutama di Afrika Barat dengan meraih pendapatan AS$2 bilion (RM8.31 bilion) selain mempunyai 24,000 pekerja.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Oktober 2018 @ 5:18 PM