Presiden John Magufuli tegas terhadap organisasi menyokong golongan homoseks dan mereka terbabit dalam aktiviti itu ditahan. FOTO REUTERS
Presiden John Magufuli tegas terhadap organisasi menyokong golongan homoseks dan mereka terbabit dalam aktiviti itu ditahan. FOTO REUTERS
Reuters

NAIROBI: Seramai 10 lelaki yang ditahan kerana terbabit dalam aktiviti homoseksual dibebaskan dengan ikat jamin di Zanzibar, semalam, kata pegawai kanan polis dan peguam mereka.

Mereka juga menekankan, kes lelaki terbabit masih dalam siasatan dan kesemua mereka masih boleh didakwa pada masa depan.

Perbuatan homoseksual adalah salah di sisi undang-undang di Tanzania dan kepulauan Zanzibar di bawah urus tadbirnya di Lautan Hindi.

Pesalah lelaki boleh dipenjarakan selama 25 tahun di pulau itu yang menarik kunjungan ribuan pelancong ke pantainya setiap tahun.

Lelaki terbabit ditahan pada Sabtu lalu apabila polis menyerbu sebuah parti di sebuah pusat peranginan pantai di pulau utama Zanzibar, Unguja, selepas menerima maklumat bahawa perkahwinan sejenis sedang berlangsung.

“Kami menyiasat kes ini selepas menerima laporan tetapi sehingga ini belum menemui bukti berlakunya perbuatan menyalahi undang-undang, jadi kami membebaskan mereka,” kata panglima polis Unguja Selatan, Suleiman Hassan.

“Bagaimanapun, kami meneruskan siasatan dan jika ada bukti mereka boleh ditahan semula dan didakwa,” katanya kepada agensi berita selepas dihubungi.

Tangkapan itu dibuat beberapa hari selepas seorang pegawai kanan di kota utama Tanzania, Dar es Salaam, menggesa orang awam melaporkan nama orang disyaki homoseks untuk ditahan.

Gesaannya dilaporkan mencetuskan keadaan panik di kalangan anggota masyarakat LGBT tempatan.

Isu berkenaan menyebabkan Kesatuan Eropah memanggil pulang dutanya ke Tanzania manakala Amerika Syarikat memberi amaran kepada warganya supaya berhati-hati dengan undang-undang berkaitan homoseks di negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 November 2018 @ 5:34 PM