PENINGKATAN 3 darjah atau 4 darjah akan meningkatkan kadar kematian antara satu dan sembilan peratus. FOTO/NASA
PENINGKATAN 3 darjah atau 4 darjah akan meningkatkan kadar kematian antara satu dan sembilan peratus. FOTO/NASA
Reuters

PARIS: Kegagalan memenuhi sasaran global untuk mengehadkan peningkatan suhu akan menyebabkan lebih banyak kematian berkaitan gelombang kepanasan, kata penyelidik semalam.

Negara di Asia Tenggara seperti Filipina dan Vietnam akan paling teruk terjejas dengan kadar kematian berkaitan kepanasan, selain di Eropah Selatan dan Amerika Selatan, menurut laporan.

Banyak negara menandatangani perjanjian Paris mengenai perubahan suhu untuk mengehadkan peningkatan suhu global kepada bawah dua darjah Celsius mengatasi paras praperindustian dan secara idealnya pada 1.5 darjah.

Peningkatan 3 darjah atau 4 darjah akan meningkatkan kadar kematian antara satu dan sembilan peratus, menurut kajian dalam jurnal Climatic Change.

“Buat masa ini, kita dalam laluan mencecah lebih 3 darjah Celsius kepanasan, dan jika keadaan ini berterusan ia memberi akibat buruk bagi kesihatan di banyak negara dunia,” kata penulis bersama kajian, Antonio Gasparrini, dalam kenyataan.

Penurunan dalam kematian berkaitan cuaca sejuk di tempat lain tidak mencukupi untuk mengimbangi peningkatan keseluruhan, kata penyelidik diketuai saintis Sekolah Perubatan Kebersihan dan Tropika London yang meninjau 23 negara.

Peningkatan suhu global dari 1.5 darjah Celsius hingga 2 darjah berkemungkinan memberikan tidak sampai satu peratus peningkatan dalam kematian berkaitan di wilayah panas seperti Eropah Selatan, Amerika Selatan dan Asia Tenggara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 September 2018 @ 12:15 PM