AFP

Washington: Satu kajian mendedahkan separuh daripada glasier terutama bahagian yang lebih kecil akan hilang pada 2100 akibat perubahan iklim.

Penemuan diterbitkan menerusi kajian diterbitkan dalam jurnal Science, baru-baru ini, memberikan pandangan paling komprehensif mengenai nasib 215,000 glasier dunia.

Penulis itu menekankan kepentingan menyekat dan mengehadkan pelepasan gas rumah hijau yang mengakibatkan pencairan glasier seperti kenaikan paras laut dan penyusutan sumber air.

Pengarang bersama kajian itu, Regine Hock dari Universiti Oslo dan Universiti Alaska Fairbanks berkata, kajian itu melihat kesan empat senario ke atas glasier iaitu perubahan suhu purata global ialah 1.5 darjah Celsius (C), 2.0 C, 3.0 C dan 4.0 C.

"Setiap peningkatan darjah menghasilkan lebih banyak kecairan.

"Namun, jika kenaikan suhu dapat dikurangkan, kita juga boleh mengurangkan kehilangan jisim itu.

"Jadi dalam erti kata lain, masih ada harapan," katanya AFP.

GLASIER berhampiran stesen kereta api di Montenvers berhampiran Chamonix dekat pergunungan Mont Blanc di Banjaran Alp di Perancis. FOTO fail AFP
GLASIER berhampiran stesen kereta api di Montenvers berhampiran Chamonix dekat pergunungan Mont Blanc di Banjaran Alp di Perancis. FOTO fail AFP

Menurut Hock, kenaikan suhu global 4.0 C mengakibatkan glasier gergasi seperti di Alaska akan lebih terjejas dan 83 peratus daripada glasier akan hilang menjelang akhir abad ini, sekali gus memburukkan lagi kenaikan paras laut dunia.

"Pemanasan 1.5 C akan membawa kepada peningkatan purata paras laut sembilan sentimeter (sm), manakala suhu 4.0 C lebih tinggi akan menyebabkan kenaikan paras laut, 15 sm.

"Bunyinya tidak terlalu banyak tetapi ia boleh membawa bencana seperti lonjakan ribut yang menyebabkan banyak kemusnahan.

"Selain itu, kehilangan glasier akan menjejaskan sumber air kerana ia menyediakan air tawar untuk kira-kira dua bilion orang," katanya.

Walaupun kenaikan suhu global dihadkan kepada 1.5 C di atas paras praindustri seperti sasaran matlamat Perjanjian Paris, namun penyelidik meramalkan 49 peratus daripada glasier dunia akan lenyap menjelang tahun 2100.

Ia mewakili kira-kira 26 peratus daripada jisim glasier dunia kerana glasier terkecil akan menjadi yang pertama terjejas.

Purata suhu global pada masa ini dianggarkan meningkat sebanyak 2.7 C yang akan mengakibatkan kehilangan hampir sepenuhnya glasier di Eropah Tengah, Kanada Barat dan benua Amerika Syarikat dan New Zealand.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2023 @ 11:51 AM