AFP

BERLIN: Pihak berkuasa di beberapa negara mengeluarkan amaran semalam ketika gelombang panas merekodkan suhu paling tinggi di Eropah apabila mencecah 40 darjah Celsius.

Kepanasan melampau itu menyebabkan lalu lintas tersekat, mencetuskan kebakaran hutan dan memanaskan perbahasan berhubung tindakan berbogel di khalayak ramai ketika penduduk Jerman berbuat demikian kerana panas.

Namun pengeluar wain di Perancis mengalu-alukan cuaca panas kerana ia membantu menghasilkan arak lebih baik.

Pakar kaji cuaca memberitahu, udara panas dari utara Afrika membawa gelombang panas yang terlalu awal pada musim panas di Eropah.

ORANG ramai menyejukkan badan dalam keadaan panas yang melanda Eropah. -Foto Reuters
ORANG ramai menyejukkan badan dalam keadaan panas yang melanda Eropah. -Foto Reuters

Mereka berkata, ia berkemungkinan menjadikan suhu meningkat lebih 40 darjah Celsius di Perancis, Sepanyol dan Greece hari ini dan esok.

Saintis memberi amaran pemanasan global berkaitan penggunaan bahan bakar fosil menjadikan kepanasan lebih kerap berlaku.

“Suhu global semakin meningkat disebabkan perubahan iklim.

“Peningkatan suhu global bermakna kemungkinan gelombang kepanasan melampau akan lebih kerap berlaku,” kata profesor sains iklim di Universiti Reading, Len Shaffery.

Di Sepanyol, agensi kaji cuaca Aemet, semalam berkata lima wilayah utara berhadapan risiko penting dengan suhu dijangka mencecah 42 darjah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2019 @ 2:23 PM