Theresa pada sesi Prime Minister’s Questions di London. FOTO AFP
Theresa pada sesi Prime Minister’s Questions di London. FOTO AFP
Reuters

LONDON: Seramai 50 ahli perundangan Parti Konservatif yang menentang pelan pemimpin mereka yang juga Perdana Menteri Britain, Theresa May, dalam isu Brexit, telah berbincang mengenai cara dan bila untuk menggulingkan beliau.

Ahli perundangan terbabit membantah pelan May untuk mencapai persetujuan dengan Kesatuan Eropah (EU) dalam isu Brexit, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC), semalam.

Mereka adalah anggota Kumpulan Penyelidikan Eropah (ERG) sebuah kumpulan anti-EU dalam Parti Konservatif.

Ahli perundangan itu bermesyuarat semalam dan secara terbuka berbincang mengenai masa depan May sebagai pemimpin parti itu, kata BBC yang memetik sumber.

Antara ulasan yang dipetik di kalangan mereka termasuk ‘semua orang yang saya kenal kata beliau perlu letak jawatan,’ rancangannya akan bawa bencana’ dan ‘perkara ini tidak boleh dibiarkan,’ lapor BBC.

Satu sumber yang dipetik oleh BBC berkata, ‘pemimpin negara tidak sedar pandangan mereka tidak mengikut sentimen semasa dan berada di landasan salah’ tetapi ada juga orang lain menganggap menggantikan pemimpin sekarang adalah tindakan bodoh.

Beberapa daripada mereka sudah menyerahkan surat menyatakan tidak lagi menyokong kepemimpinan May pada Mei lalu.

Perpecahan dalaman dalam parti pimpinan May semakin mendalam minggu ini selepas bekas Setiausaha Luar, Boris Johnson, yang keluar dari Kabinet berhubung isu Brexit, menyifatkan pelan Perdana Menteri umpama memasang ‘ves bom bunuh diri’ pada Perlembagaan Britain.

Mengikut peraturan parti itu, satu pilihan raya memilih pemimpin boleh berjalan jika 15 peratus daripada ahli perundangannya - ketika ini 48 daripada 315 anggota Konservatif di Parlimen - mengemukakan usul tidak percaya kepada kepemimpinannya.

ERG mengecam rancangan Mei untuk Britain kekal dalam zon perdagangan bebas dengan EU jika meninggalkan blok itu pada Mac tahun depan.

Bagaimanapun, mereka juga menghadapi kritikan kerana tidak pula mengemukakan pelan alternatif.

Pemimpin ERG, Jacob Rees-Mogg berkata bahawa kumpulannya akan mendedahkan cadangan mereka hari ini iaitu bagaimana Britain boleh keluar dari EU tanpa mewujudkan sempadan dengan peraturan ketat di antara Ireland Utara dan Ireland, antara masalah yang menghadang persetujuan mengenai Brexit dengan EU.

United Kingdom akan keluar dari EU pada 29 Mac tahun depan. EU dan UK berharap dapat memeterai perjanjian lewat tahun ini supaya Parlimen masing-masing boleh memberi sokongan sebelum tarikh itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 September 2018 @ 8:10 PM