MAY meminta menangguhkan pengunduran Britain dari EU sehingga 30 Jun.
MAY meminta menangguhkan pengunduran Britain dari EU sehingga 30 Jun.
Agensi

LONDON: Seramai 27 pemimpin Kesatuan Eropah (EU) lain dan Perdana Menteri Britain, Theresa May, bersetuju untuk melanjutkan Brexit sehingga 31 Oktober.

“EU27 / UK bersetuju melanjutkan fleksibel sehingga 31 Oktober. Ini bermakna tambahan enam bulan untuk United Kingdom (UK) bagi mencari penyelesaian terbaik,” kata Presiden Majlis Eropah, Donald Tusk.

May meminta menangguhkan pengunduran Britain dari EU sehingga 30 Jun.

Kebanyakan pemimpin EU memilih jangka masa panjang, sehingga akhir tahun ini atau seterusnya, menurut sumber EU.

Tetapi Presiden Perancis, Emmanuel Macron, berkata beliau bertanggungjawab menyekat penanguhan terlalu lama dan meyakinkan pemimpin lain untuk bersetuju dengan berundur ‘secepat mungkin’ untuk memelihara fungsi EU.

“Memang benar majoriti lebih memihak kepada pelanjutan masa panjang tetapi ia tidak masuk akal pada pandangan saya, dan ia tidak mendatangkan kebaikan kepada kami, atau UK,” kata Macron.

Menurut diplomat EU, pelanjutan itu adalah fleksibel, membolehkan Britain berundur diri sebaik sahaja proses perpisahan Brexit disahkan. Bagaimanapun, jika ia kekal selepas 22 Mei ini, pengundi Britain terpaksa menyertai pilihan raya Eropah.

Tusk berkata Britain masih mempunyai semua pilihan pada Brexit semasa pelanjutan itu, dari kelulusan terhentinya perjanjian perpisahan sehingga mengubah strategi untuk membatalkan pengundurannya.

Ahli parlimen British menolak perjanjian perpisahan May sebanyak tiga kali, dan cubaan menjalinkan perhubungan dengan lawan politiknya belum lagi membuahkan hasil.

Berikutan perjanjian di Brussels, May mengakui berasa ‘sangat kecewa’ kerana terpaksa meminta penangguhan kedua Brexit, mendesak parlimen untuk menyokong perjanjian Brexitnya.

“Saya sedar ramai yang kecewa kerana tindakan saya memohon pelanjutan ini. UK sepatutnya sudah meninggalkan EU dan saya benar-benar berasa menyesal kerana belum dapat memujuk parlimen untuk meluluskan perjanjian itu.

“Tetapi pilihan itu sememangnya tegas dan jadualnya jelas, jadi sekarang kita perlu meneruskan usaha untuk mencapai persetujuan mengenai perjanjian yang ada kepentingan negara,” katanya dalam sidang akhbar, sambil menambah dia tidak akan berpura-pura untuk minggu seterusnya menjadi lebih mudah atau ada cara lain boleh meleraikan kebuntuan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 8:31 PM