GAMBAR fail menunjukkan model Playboy, Karen McDougal yang dikaitkan dengan Trump. Foto AFP
GAMBAR fail menunjukkan model Playboy, Karen McDougal yang dikaitkan dengan Trump. Foto AFP
Reuters

BEKAS peguam peribadi Presiden Donald Trump, Michael Cohen merakam perbualannya dengan Trump dua bulan sebelum pilihan raya 2016 yang membincangkan untuk membeli hak ke atas ‘cerita’ oleh bekas model Playboy yang didakwa menjalin hubungan sulit dengan Trump, kata seorang daripada peguam presiden itu semalam.

Peguam Rudy Giuliani berkata, perbincangan antara Trump dan Cohen itu tidak membabitkan sebarang dana kempen.

Menurut pakar perundangan, sekiranya dana kempen digunakan, ia boleh melanggar undang-undang pilihan raya persekutuan.

Giuliani mengesahkan perbualan yang berlaku pada September 2016 itu kepada Reuters tetapi ia membabitkan pembayaran ganti rugi syarikat induk tabloid National Enquirer untuk mendapatkan hak cerita McDougal. Bayaran itu tidak pernah dibuat, katanya.

Giuliani turut menafikan hubungan sulit Trump dengan McDougal. Beliau berkata pita itu akan menunjukkan penjelasan Trump bahawa jika ada pembayaran, ia perlu dilakukan dengan cek yang lebih mudah dikesan.

McDougal menjual kisahnya dengan harga AS$150,000 (RM583,574) pada Ogos 2016 tetapi ia tidak pernah diterbitkan oleh National Enquirer.

Pengerusi syarikat induk American Media Inc (AMI), David Pecker, adalah sahabat baik Trump.

McDougal berkata, dia menjalin hubungan intim dengan Trump hampir setahun pada 2006 sejurus selepas isterinya, Melania bersalin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Julai 2018 @ 12:14 PM