SALAH satu butik Kate Spade di Manhattan, New York. FOTO Reuters
SALAH satu butik Kate Spade di Manhattan, New York. FOTO Reuters
Reuters

KEMATIAN mengejut pereka fesyen tersohor Kate Spade, pada Selasa lalu menyebabkan orang ramai bergegas membeli koleksi beg tangan berwarna terang, hingga melonjakkan harga jualan berlipat kali ganda, kata penjual barangan terpakai dalam talian.

Pasaran fesyen dalam talian Tradesy menyaksikan perbezaan harga purata, meningkatkan bekalan dua kali ganda dan peningkatan pembelian sebanyak 800 peratus untuk beg tangan Kate Spade pada hari kematiannya.

Beg yang sudah dijual pada harga AS$50 (RM199.42) pada minggu sebelumnya meningkat kepada AS$300 (RM1,196.55) pada 5 Jun lalu, menyamai harga beg baharu.

“Apabila mana-mana selebriti meninggal dunia, adalah perkara biasa anda akan melihat permintaan untuk produk dan harga purata barang mereka meningkat.

“Tetapi saya tidak pernah melihat lonjakan seperti ini sebelumnya,” kata ketua pegawai pemasaran syarikat berpangkalan di Santa Monica, Kamini Lane.

Pereka berusia 55 tahun yang membina empayar fesyen mewah popular mampu milik bersama suaminya, ditemui meninggal dunia di sebuah pangsapuri, di bandar raya New York dan ia jelas perbuatan bunuh diri.

Lane mengimbau kembali ketika kematian pereka busana anggun mewah Azzedine Alaia, yang menjadi pilihan bintang ternama seperti Greta Garbo, Grace Jones dan Lady Gaga, meninggal dunia pada November lalu, syarikat itu menyaksikan kenaikan jualan barangan Alaia tetapi ia tidak seperti kisah Spade.

“Kate Spade begitu mudah diakses oleh orang ramai dan oleh itu permintaan terhadapnya lebih luas,” katanya, sambil menambah selepas kematian Spade, syarikat itu menjual beratus-ratus barang sehari.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Jun 2018 @ 9:13 PM