MOTIF dan reka bentuk busana mengambil ilham biasan kristal.
MOTIF dan reka bentuk busana mengambil ilham biasan kristal.
ANTARA salah satu koleksi The Healer yang tampak gah di pentas peragaan.
ANTARA salah satu koleksi The Healer yang tampak gah di pentas peragaan.
Hafiz Ithnin


PEREKA fesyen memerlukan pemikiran kreatif dan kritis bagi menghasilkan koleksi busana yang bukan sahaja tampak anggun, malah mempunyai maksud serta nilai tersendiri kepada si pemakai.

Ketika menghasilkan pelbagai koleksi yang mendapat permintaan tinggi di pasaran, dalam diam terdapat pereka fesyen mengalami tekanan perasaan dan kemurungan.

Pereka beg tangan antarabangsa, Kate Spade pada 2018 umpamanya ditemui mati di apartmentnya di New York, Amerika Syarikat dipercayai membunuh diri akibat tekanan perasaan.

Lantas, pereka fesyen muda tempatan, Akmal Hakim Ajirul yang baru sahaja membuka langkahnya di dalam industri itu memperkenalkan koleksi busana yang dinamakan sebagai The Healer iaitu mengaitkan fesyen dan rawatan alternatif bagi pesakit mental, rawatan kristal.

Menterjemahkan reka bentuk halus yang terpapar daripada pancaran kristal, Akmal menjadikannya sebagai corak di atas fabrik net, ‘organdy’ metalik dan kanvas metalik.

AKMAL bersama salah satu busana di dalam koleksi The Healer
AKMAL bersama salah satu busana di dalam koleksi The Healer

Akmal Hakim berkata, terdapat lima jenis busana yang disiapkan di dalam koleksi bertemakan ‘Art to wear’ dan ia mengambil masa enam bulan untuk disiapkan.

Katanya, meskipun masih bergelar pelajar tahun akhir di Universiti Teknologi Mara (UiTM), sentuhan koleksinya menambat hati juri dalam UiTM Degree Fashion Show 2020 apabila dinobatkan sebagai pemenang utama.

“Sebelum menghasilkan karya ini saya membuat kajian mengenai isu cabaran yang dihadapi kebanyakan pereka fesyen iaitu tekanan yang mereka hadapi untuk menzahirkan koleksi yang banyak.

“Bebanan kerja dan kesuntukan waktu menjadi punca berlaku masalah kesihatan mental kepada banyak pereka fesyen. Justeru, saya melihat terdapat alternatif perubatan dalam masalah mental dan apabila kristal itu ‘diteropong’ secara halus, ia mempunyai bentuk sinaran cahaya yang cantik untuk diterapkan di atas fabrik,” katanya.

REKAAN Akmal Hakim yang tampak mewah dan mempunyai maksud tersendiri.
REKAAN Akmal Hakim yang tampak mewah dan mempunyai maksud tersendiri.

Menurutnya, karya yang dihasilkan itu adalah separa ‘couture’ yang sesuai untuk dipakai dalam acara berprestij dan sudah tentu maksud dalam busana yang dihasilkan itu juga penting untuk menyampaikan kesedaran kepada umum.

Ditanya mengenai cabaran untuk menghasilkan koleksi itu, katanya, selain kajian bagi mendapatkan tatarias yang bermakna di atas fabrik, perincian teknikal untuk menghasilkan koleksi lengkap juga antara yang diberi perhatian.

“Semua koleksi ini turut saya memberi penekanan kepada jahitan iaitu sembat. Ternyata ia bukan suatu perkara yang mudah bagi menghasilkan sebuah karya fesyen yang bukan sahaja mempunyai maksud untuk memberi kesedaran, tetapi turut fokus kepada perincian teknikal jahitan,” katanya.

LAKARAN The Healer sebelum dizahirkan menjadi sebuah koleksi.
LAKARAN The Healer sebelum dizahirkan menjadi sebuah koleksi.

Katanya, lima gaya yang dipersembahkan di dalam koleksi itu turut mengambil ilham daripada bentuk pantulan sinaran cahaya kristal dan diterjemahkan dalam lima gaya yang tampak lebih mewah.

Hasilnya, koleksi itu diperagakan di beberapa pentas peragaan yang setara dengan nama pereka fesyen terkenal tempatan kelak.

“Setakat ini tiada lagi pembeli, tetapi saya turut diberi peluang untuk bekerja sementara dengan seorang pemain industri fesyen tempatan terkenal yang menghasilkan koleksi tudung,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 January 2020 @ 6:10 AM