GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

POLIS India hari ini menahan seorang lelaki dituduh membunuh pengantin lelaki apabila meraikan perkahwinan rakannya dengan melepaskan tembakan, terbaharu dalam siri sambutan perkahwinan bertukar tragedi.

Video Sunil Verma, 25, terkena tembakan pada dadanya lewat Ahad lalu ketika menjalani upacara perkahwinan Hindu menjadi viral dalam media sosial India.

Rakaman menunjukkan lelaki dikenal pasti sebagai rakan Verma melaraskan pistol apabila ia tiba-tiba meletup. Tidak lama kemudian, pengantin lelaki dilihat memegang dada sambil wajahnya terlangkup.

“Dia mengaku melakukan tembakan namun siasatan diteruskan. Kami menemui senjata pembunuh,” kata pegawai penyiasat di daerah Lakhimpur Kheri di Uttar Pradesh, Ghanshyam Chaurasia kepada AFP.

Penembak, yang mungkin berdepan dakwaan membunuh, melarikan diri sehingga ditangkap hari ini di bandar bersebelahan. Polis berkata, dua das tembakan dilepaskan daripada pistol berlesen milik rakannya. -AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mei 2018 @ 11:45 PM