MANGSA kelihatan menekup mukanya selepas cedera ditembak. FOTO Youtube
MANGSA kelihatan menekup mukanya selepas cedera ditembak. FOTO Youtube
Agensi

LUCKNOW: Seorang penari wanita kritikal akibat ditembak pada muka ketika berehat seketika untuk meneruskan persembahannya di sebuah majlis perkahwinan di Uttar Pradesh, India, pada Sabtu minggu lalu.

Daily Mail melaporkan, mangsa berusia 22 tahun dikenali sebagai Hina itu mengadakan persembahan tarian sempena majlis perkahwinan anak perempuan ketua kampung sebelum terkena tembakan itu.

Kejadian turut menyebabkan bapa saudara pengantin lelaki, Mithilesh dan Akhilesh cedera kerana terkena tembakan.

Polis kemudian menahan dua lelaki dikenali sebagai Sudhir Singh dan Phool Singh, kelmarin selepas rakaman video kejadian itu dimuat naik dan tular di media sosial.

Rakaman itu menunjukkan mangsa dan rakannya yang dikenali sebagai Naina membuat persembahan sambil membelakangi barisan tetamu.

Sebaik lagu habis dimainkan, mereka berhenti menari sebelum kedengaran suara laungan tetamu dan bunyi tembakan, namun tidak ada yang memberi reaksi.

HINA kritikal di hospital selepas ditembak pada muka ketika mengadakan persembahan tarian.
HINA kritikal di hospital selepas ditembak pada muka ketika mengadakan persembahan tarian.

NDTV melaporkan, suara seorang tetamu kedengaran dalam video itu memberi amaran mahu melepaskan tembakan sebelum seorang lagi membalas dia patut melakukannya.

Beberapa saat kemudian, terdapat bunyi tembakan lebih kuat kedengaran sebelum mangsa menekup mukanya. Dia dikejarkan ke hospital dan disahkan kritikal akibat kecederaan pada rahang.

Kejadian seumpama itu sering berlaku pada majlis perkahwinan di India apabila tetamu membawa pistol dan melepaskan tembakan untuk meraikan pasangan pengantin.

Pada 2016, seorang penari yang hamil, Kulwinder Kaur, 25, ditembak pada perut ketika mengadakan persembahan di majlis perkahwinan menyebabkannya mati serta-merta.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Disember 2019 @ 6:50 AM