Agensi

POLIS Pakistan hari ini, mengumumkan menahan lelaki yang disyaki suspek utama merogol dan membunuh kanak-kanak perempuan tujuh tahun, Zainab Ansari, di Kasur, minggu lalu.

Mayat kanak-kanak itu ditemui di tempat pembuangan sampah di tepi jalan bandar berkenaan, empat hari selepas dia hilang

Reuters melaporkan, menurut jurucakap polis, lelaki itu ditahan sebagai suspek utama selepas mereka menyoal siasat puluhan orang.

“Bukti yang kami perolehi menunjukkan lelaki itu sebagai suspek utama,” kata seorang pegawai polis yang tidak mahu dikenali.

Ketua Menteri Punjab, Shahbaz Sharif, yang melawat Kasur hari ini, tidak menyebut mengenai penahanan itu tetapi berkata, polis sudah hampir menyelesaikan kes berkenaan.

Beliau sebelum ini menawarkan ganjaran 10 juta rupees (RM356,365) bagi maklumat hingga tertangkapnya pembunuh Zainab.

Rekod polis menunjukkan 12 kes kanak-kanak, termasuk Zainab dirogol sebelum dibunuh sejak 2016 dan pembunuhan Zainab mencetuskan tunjuk perasaan mengecam pihak berkuasa menyebabkan dua penduduk maut ditembak polis.

Sementara itu, AFP melaporkan, pihak berkuasa sedang menyiasat kemungkinan semua 12 pembunuhan itu dilakukan orang yang sama kerana mayat Zainab dan semua mangsa lain ditemui dalam kawasan radius dua kilometer.

Pengarah Hospital Daerah Kasur, Dr Nazir Ahmed, memberitahu DNA yang sama ditemui pada enam mangsa.

Selain itu, bedah siasat mendapati tubuh mangsa mempunyai kesan kecederaan yang sama iaitu dicekik, dicucuh api, parut dan luka pada pergelangan tangan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2018 @ 8:23 PM