FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
AFP

Kabul: Seorang pejuang Taliban ditahan kerana menembak mati seorang wanita Hazara di dalam sekatan jalan raya di ibu negara Afghanistan, ketika dia pulang dari majlis perkahwinan, kata jurucakap kumpulan itu pada Rabu.

Pembunuhan Zainab Abdullahi, 25, mencetuskan kebimbangan dalam kalangan wanita yang kini sedang menghadapi beberapa sekatan sejak Taliban kembali berkuasa Ogos tahun lalu.

Kejadian itu berlaku di Kabul yang kawasan berkenaan didiami ahli minoriti komuniti Syiah Hazara yang sering dianiaya kumpulan Sunni sejak sekian lama.

Kumpulan militan Daesh menyasarkan masyarakat itu dalam siri serangan berani mati.

Bagaimanapun, pembunuhan Zainab adalah satu kesilapan, kata jurucakap Taliban Mohammad Naeem menerusi Twitter, manakala pejuang yang ditahan itu akan dihukum.

Akibat daripada kesilapan itu, keluarga wanita itu ditawarkan pampasan 600,000 Afghani (kira-kira RM23,951), kata Kementerian Dalam Negeri dalam kenyataan yang berasingan.

Beberapa aktivis hak wanita turut mengadakan bantahan di Kabul bagi menuntut keadilan atas kematian Zainab.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 10:14 AM